Dalam usaha kita untuk
bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu
berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara
kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat
global. Di harapkan langkah mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
(KBAT) dalam PdP akan dapat menaikkan prestasi negara khususnya dalam
persaingan peringkat antarabangsa terutama dalam pentaksiran Programme for
International Student Assessment (PISA) dan Trends in International
Mathematics and Science Study (TIMSS) yang dinyatakan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2015.
KBAT juga mengaplikasikan
pemikiran secara kritikal, pemikiran kreatif, pemikiran logical, pemikiran
reflektif dan meta kognitif. Secara mudahnya murid mencerap sesuatu data atau
maklumat kemudian diproses dalam minda dan akhirnya dikeluarkan semula dalam
pelbagai bentuk. Kemahiran berfikir ini juga dikatakan sebagai berfikir secara
kritis dan kreatif.
Memiliki kemahiran ini murid
bebas untuk membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti
sebab dan akibat mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri. Andai kata
diberikan suatu soalan maka murid boleh memberi jawapan dalam pelbagai bentuk,
idea baru dan melihat daripada beberapa sudut. Di sinilah dikatakan wujudnya
pemikiran berbentuk kreatif, inovatif dan mereka cipta di kalangan murid.
KBAT ini juga
mempunyai kelebihan lain iaitu dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehan sedia
ada pada murid. Mereka akan dapat mengawal, memandu dan mengukur pembelajaran
yang telah mereka kuasai. Kebolehan ini akan menjadikan mereka lebih produktif
dan berdaya saing. Seterusnya sudah tentu dapat meningkatkan kefahaman dan
memperkukuh pembelajaran dalam apa sahaja perkara yang mereka pelajari nanti.
Bagi menerapkan kemahiran
berfikir aras tinggi dalam kalangan murid maka peranan guru sangat signifikan.
Usaha ke arah itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Sebenarnya
kemahiran berfikir ini bukanlah asing kepada guru kerana mereka telah
didedahkan tentang konsep dan kaedah kemahiran ini semasa mengikuti latihan
perguruan di maktab atau universiti suatu ketika dahulu. Walau apa pun guru
perlu terus ditingkatkan keupayaan kemahiran berfikir mereka supaya dapat
memberikan yang terbaik kepada murid dalam pengajaran mereka.
Antara cara berkesan yang
boleh dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan
soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan
adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa,
mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta
atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari.
0 comments:
Post a Comment