KONSEP
pendidikan perlu diberikan takrifan baharu. Ini kerana perkataan pendidikan
yang merujuk kepada penyediaan kemudahan dan proses mengajar pelbagai cabang
ilmu, mengasuh perwatakan, melatih pelbagai kemahiran, menyemai nilai budaya,
mendewasakan seseorang manusia sejak kelahirannya - ialah pengertian asas yang
diguna pakai sejak zaman kegemilangan peradaban Mesir kira-kira 3,000 tahun
lampau.
Kita
boleh membayangkan kegiatan mengajar dan belajar secara tersusun mungkin
bermula kira-kira 2,000 tahun sebelum Masehi, iaitu ketika sistem tulisan
berkembang di Mesir, dengan menggunakan hieroglyphic.
Di
zaman keagungan peradaban Greek kira-kira 500 tahun sebelum Masehi,
perkembangan pendidikan sudah melangkaui kegiatan menulis dan membaca. Sistem
tulisan Greek membolehkan para ilmuan dan pemikir berdialog, berfalsafah dan
mengungkapkan idea yang abstrak.
Kini,
isu pendidikan bukan hanya mengenai soal membaca, menulis, mengira dan
pembentukan perwatakan, bahkan bersangkutan soal “kebolehpasaran graduan”,
kekuatan daya kreatif dan inovasi,
kebolehan berkomunikasi di pentas antarabangsa, mempunyai daya saing dan daya
ketahanan mental serta daya keintelektualan tinggi, berminat dalam ilmu sains
dan teknologi, pintar matematik dan
sebagainya. Terkini, kualiti pendidikan di Malaysia dilihat berdasarkan ranking
oleh agensi-agensi antarabangsa.
Proses
pendidikan bukan hanya berlaku dalam sistem yang formal. Pendidikan terjadi
juga dalam ruang informal menerusi jaringan Internet dan pelbagai aplikasi
dalam ruang siber. Internet menyediakan pelbagai sumber bahan bacaan dan
maklumat yang berguna sebagai bahan rujukan kepada para pelajar, pengajar dan
penyelidik di seluruh dunia. Sesungguhnya Internet dan televisyen turut menjadi
guru kepada manusia moden.
Namun
hanya sistem pendidikan formal yang diberikan kuasa untuk menguji dan menilai
pencapaian para pelajar menerusi sistem peperiksaan yang berwibawa dan
diiktiraf dunia. Sekolah, kolej dan universiti diberikan kuasa dan kuat-kuasa
untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah. Ruang siber dan televisyen
belum lagi mempunyai kewibawaan untuk menganugerahkan sijil, diploma dan ijazah
kepada para pengguna dan penonton. Jika hal ini berlaku, besar kemungkinan
institusi pendidikan formal akan beransur-ansur menjadi tidak relevan lagi.
Pengkaji
sejarah pendidikan merumuskan bahawa budaya pendidikan yang terancang mula
berkembang di zaman Kerajaan Pertengahan di Mesir, kira-kira 1,500 tahun
sebelum Masehi, iaitu era sistem pemerintahan dan peradaban yang kuat. Kejayaan
peradaban tersebut termasuklah membina piramid dan pelbagai binaan purba yang
menjadi tinggalan sejarah yang terus dikagumi oleh seluruh dunia hingga kini.
Namun
berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang digubal oleh Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu, laporan 2014, kualiti pendidikan di Mesir berada pada
tangga ke-110, iaitu berkedudukan pada tahap sederhana sahaja. Begitu juga
halnya di Greek yang dulunya terkenal membangunkan ilmu falsafah politik,
ethics, metafizik, ontologi, logik, retorik dan estetika. Kini, mengikut HDI,
Greek berada di tangga ke-29, dan didahului oleh negara-negara yang baru
menjadi maju seperti Singapura (kesembilan) dan Korea (ke-15), dan hampir
dikalahkan oleh Brunei (ke-30).
Walaupun
tidak dapat dinafikan amalan dan budaya pendidikan yang baik boleh menghasilkan
peradaban kuat dan berdaya tahan, namun, jika sistem pendidikan dalam sesebuah
masyarakat itu tidak dimantapkan secara berterusan supaya sesuai dengan
kehendak zaman, maka kekuatan peradaban masyarakat itu akan luntur. Oleh itu
kehebatan sesuatu peradaban pada zaman lampau, seperti peradaban Mesir dan
Greek, tidaklah menjamin penerusan keagungannya hingga ke hari ini. Negara lain
yang lebih gigih akan berupaya mendaki tangga kegemilangan.
Berdasarkan
HDI, terdapat 49 buah negara yang dikategorikan sebagai mempunyai HDI paling
tinggi (dengan mata pencapaian antara 0.808 – 0.944). Berdasarkan ukuran HDI,
Malaysia kini di tangga ke-62 (dengan mata pencapaian 0.773, iaitu dalam kategori
HDI Tinggi), namun belum lagi berada di gerbang kumpulan negara maju.
Nampaknya
kini, isu pendidikan di Malaysia mendapat perhatian serius semua pihak
berkepentingan. Kerajaan telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan ekosistem pendidikan supaya generasi
muda Malaysia akan terus mendapat pendidikan berkualiti setanding dengan
standard pendidikan antarabangsa yang semakin meningkat, dan untuk membolehkan
mereka berperanan sebagai sumber tenaga manusia di Malaysia yang berhasrat
menjadi sebuah negara maju.
Namun
mengikut pengukuran Organisasi Untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)
pada 2013, kedudukan struktural sistem pendidikan di Malaysia perlu diperbaiki,
jika ingin berjaya menjadi negara maju. OECD mencadangkan supaya komponen
vokasional dalam sistem pendidikan khususnya di peringkat pasca sekolah menengah
dimantapkan.
Mengikut
pengukuran PISA (Programme for International Student Assessment) yang
dibangunkan OECD melibatkan penyertaan 65 negara, bagi 2012, Malaysia di tangga
ke-52 dalam bidang matematik, ke-53 (sains), dan ke-59 (pembacaan). Singapura
pula di tangga kedua (matematik), ketiga (sains), dan ketiga (pembacaan).
Sangat menarik ialah Vietnam berada di tangga ke-17 (matematik), kelapan
(sains), dan ke-19 (pembacaan). Ini menunjukkan bahawa Vietnam (negara yang
hanya mula membangun pada 1975 setelah mengalami peperangan selama 35 tahun),
jauh mengatasi Malaysia dalam tiga bidang ini. Justeru sistem pendidikan
Malaysia perlu dikaji dengan teliti. Strategi transformasi terbaik perlu
dirancang dengan teliti.
Pada
2014, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita
AS$24,400 berbanding Vietnam AS$5,600. Berdasarkan ukuran itu di peringkat
antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-71, berbanding Vietnam ke-163. Ini
bererti dengan KDNK yang relatif tinggi, sistem pendidikan Malaysia masih
gagal melahirkan lepasan sekolah menengah bertaraf dunia.
Semua
pihak menaruh harapan tinggi terhadap keupayaan PPPM melahirkan generasi muda
yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia. Banyak diskusi meja bulat perlu
diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran, dan menyusun langkah
menyelesaikannya. Konsep pendidikan perlu dilihat semula dengan mengambil kira
kesemua unsur; tampak dan tidak tampak, untuk akademik dan bukan akademik,
unsur kepentingan nasional dan kedudukan strategik negara, dan unsur perpaduan
nasional.
0 comments:
Post a Comment