CONTEMPORARY ISSUES IN MATHEMATICS

PENDIDIKAN MATEMATIK

FAKTOR- FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR


1.0  PENGENALAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan di Malaysia telah berusaha sedaya mungkin dalam mencapai tahap pendidikan yang memuaskan bagi setiap tahap pelajar.  Oleh itu, KPM telah melaksanakan beberapa dasar bagi memenuhi keperluan tahap tersebut. Pada amnya, dasar KPM adalah untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap sosioekonomi dan tahap keupayaan setiap pelajar. Antara matlamat KPM adalah untuk memastikan setiap sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk cemerlang dalam pencapaian pendidikan.

2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR

KPM telah mengenalpasti jurang pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses pendidikan, ekuiti dan kualiti yang perlu dicapai dapat ditingkatkan. Jurang-jurang tersebut adalah seperti berikut:-
a)     Jurang antara pelajar normal dengan pelajar berkeperluan khas.
b)    Jurang sosioekonomi.
c)     Jurang antara tahap pencapaian pelajar.
d)    Jurang bandar dan luar bandar.

2.1 JURANG ANTARA PELAJAR NORMAL DENGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS.

Pendekatan pendidikan bagi pelajar normal dan pelajar berkeperluan khas adalah berbeza mengikut keupayaan masing-masing. Jurang antara kedua-dua kategori ini merujuk kepada perbezaan penyediaan kemudahan-kemudahan yang sesuai bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berkeperluan khas termasuklah yang kurang upaya, pintar cerdas dan berbakat.

2.1.1 Pelajar Berkeperluan Khas
Pendidikan khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas. Menurut Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, pendidikan khas bermaksud pendidikan bagi murid berkeperluan khas di suatu sekolah khas atau di sekolah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI) pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah. Pelajar-pelajar berkeperluan khas perlu diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi atau ketidakupayaan (Peraturan-peraturan Pendidikan, 2013).

Oleh itu, pendidikan khas adalah program pendidikan yang menggunakan kaedah-kaedah khusus sesuai untuk memenuhi keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan sosial individu- individu yang berkeperluan khas, iaitu individu yang mengalami pelbagai kecacatan atau kurang upaya atau yang pintar cerdas (gifted). Pada kebiasaannya pelajar berkeperluan khas dianggap berhadapan dengan batasan keupayaan dengan sendirinya bagi memperoleh keperluan biasa dan untuk hidup bermasyarakat kerana had fizikal dan mental. Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, di Malaysia, hanya 1% daripada populasi Negara ini telah dikenal pasti sebagai individu berkeperluan khas.

2.1.2 Pelajar Pintar Cerdas dan Berbakat

Pintar cerdas adalah satu kepintaran yang berfokus kepada kebolehan mengadaptasi, membentuk dan memilih keadaan yang menjurus kepada sesuatu maklumat. Jika dibandingkan dengan kebolehan perkembangan, kecerdasan seseorang yang pintar cerdas juga merupakan satu kebolehan yang matang dari tahap sebenar umur sesorang itu. Kamus Dewan edisi keempat telah mendefinasikan pintar sebagai cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin serta mahir dalam membuat sesuatu pekerjaan. Cerdas pula membawa maksud sempurna akal, cerdik, pandai serta pintar. Berbakat pula bermaksud kanak-kanak yang mempunyai bakat merupakan seseorang yang mempunyai kebolehan yang ada secara semulajadi. Ini bermaksud kanak-kanak yang berbakat mempunyai kebolehan secara semulajadi. Disebabkan itu, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat kebanyakannya mempunyai potensi yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan seseorang yang normal.

2.1.3 Pelajar normal

Pelajar normal merujuk kepada mereka yang dapat belajar secara normal serta mudah memahami sesuatu pelajaran berbanding mereka yang kurang upaya, namun bukanlah sangat cerdas pintar atau berbakat.

Masyarakat menganggap pelajar berkeperluan khas merupakan golongan kurang upaya. Namun sebenarnya pelajar berkeperluan khas juga terdiri daripada mereka yang pintar cerdas dan berbakat. Jika dibandingkan pencapaian antara pelajar normal dengan pelajar berkeperluan khas sudah pasti adanya jurang pencapaian yang ketara di antara mereka.  

2.1.4 Jurang Pelajar Normal dengan Pelajar Berkeperluan Khas.

Penyediaan kemudahan kepada kedua-dua golongan pelajar ini telah menjadi isu utama dan menampakkan jurang yang ketara dalam aspek pembelajaran. Pelajar berkeperluan khas berbeza dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori atau deria, keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang demikian, mereka memerlukan modifikasi atau perubahan dalam aktiviti-aktiviti sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas untuk mengembangkan potensi diri ke tahap yang optimum dan tidak terabai untuk menjadikan mereka seperti kanak-kanak normal.  Jurang yang telah terjadi dapat dibahagikan kepada dua mengikut kategori, iaitu jurang pelajar normal dengan pelajar Pendidikan Khas (Orang Kelainan Upaya) dan dengan pelajar pintar cerdas berbakat.

i)      Jurang pelajar normal dengan pelajar Pendidikan Khas (Orang Kelainan Upaya)

KPM telah cuba menyeimbangkan peluang-peluang pendidikan antara murid-murid khas dengan murid-murid normal dalam pelbagai aspek seperti pembangunan fizikal dan pembelian peralatan khas. Namun jurang pencapaian pendidikan masih ketara bagi pelajar golongan ini walaupun sudah berada di dalam kelas aliran perdana dalam program Pendidikan Inklusif ini.

Pertama, pelajar pendidikan khas kurang mendapat perhatian dan tumpuan daripada guru. Ini disebabkan oleh, pelajar Pendidikan Khas kadangkala tidak menunjukkan minat untuk belajar matematik dan tidak boleh mendengar arahan dengan baik menyebabkan guru terpaksa mengabaikan mereka dan hanya mengajar pelajar normal daripada aliran perdana.

Kedua, berlakunya penglabelan sebagai pelajar yang malas dan tidak mempunyai minat terhadap subjek matematik kerana masalah kecacatan atau kurang upaya.

Ketiga, guru sukar memberikan tumpuan kerana jurang pencapaian yang berbeza daripada pelajar normal daripada aliran perdana. Guru telah cuba mengajar sedaya upaya subjek matematik agar pelajar dapat menyelesaikan segala permasalahan matematik yang diberikan. Namun, apabila terdapatnya golongan kelainan upaya ini di dalam kelas yang sama, ini menyebabkan guru perlu mengubah aras soalan daripada tinggi kepada aras soalan tahap rendah. Kesannya, ia telah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran kerana tahap kecerdasan pemikiran yang berbeza aras. Secara tidak langsung tumpuan terhadap pelajar pendidikan khas ini agak kurang memandangkan guru perlu menghabiskan sukatan pelajar dalam tempoh yang ditetapkan. Sedangkan pelajar pendidikan khas ini memerlukan tumpuan yang lebih.

Keempat, sikap guru yang tidak memahami masalah pelajar pendidikan khas dan berasa terbeban dengan kehadiran mereka yang melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ini dapat digambarkan dengan perasaan terbeban dengan pelajar pendidikan khas ini kerana mereka tidak mampu memahami dan menguasai topik sukar dalam matematik yang diajar di dalam kelas. Apabila pencapaian mereka yang berbeza berbanding dengan pelajar normal, ditambah lagi dengan sikap pelajar yang tiada tumpuan di dalam kelas lama- kelamaan guru akan semakin tidak mengendahkan mereka.

Akhir sekali, sikap rakan sekelas sendiri yang tidak menerima kehadiran pelajar pendidikan khas di dalam kelas kerana terdapat jurang antara pelajar kurang upaya dengan pelajar normal seperti masalah bahasa dan komunikasi. Ini disebabkan oleh pelajar pendidikan khas tidak mampu untuk berkomunikasi normal dan rakan sekelas hanya mengejek dan merendah-rendahkan keupayaan mereka.

Walaupun segala kemudahan telah disediakan untuk tujuan meningkatkan pencapaian mereka namun masalah yang terdapat kepada pelajar berkeperluan khas ini sudah tentu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membaca, mengeja, menulis dan mengira. Ianya mengganggu gugat tahap pencapaian mereka dalam pendidikan dibandingkan dengan perkembangan pelajar normal. Bahkan kebarangkalian menggapai kecemerlangan bagi golongan ini adalah rendah. Namun tidak dinafikan terdapat juga golongan ini yang berjaya dengan cemerlang dalam hidup dengan berbekalkan semangat yang tinggi. Namun jumlahnya adalah kecil.

ii)    Jurang pelajar normal dengan pelajar pintar cerdas dan berbakat.

Setiap individu mempunyai keupayaan atau potensi tertentu. Golongan pintar cerdas dan berbakat adalah sumber modal insan yang perlu diberi perhatian khusus dalam usaha membangunkan tamadun negara. Cabaran kepada pendidik dalam bidang pintar cerdas dan berbakat adalah untuk mengenalpasti potensi serta bakat-bakat tertentu yang ada pada diri setiap pelajar. Bakat mereka dalam bidang matematik sudah tentu tidak dapat dinafikan lagi. Misalnya aset penting negara yang pintar cerdas dalam Matematik iaitu Adi Putra yang telah memperkenalkan 235 formula matematik baru.

Menurut kepada pelan tindakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP), sasaran bagi pendidikan murid-murid pintar cerdas adalah untuk memperkenalkan program pintar cerdas dan berbakat iaitu dengan mengadakan program pintar cerdas dan berbakat satu sekolah di setiap negeri. Kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat memerlukan program yang khusus bagi memenuhi keperluan mereka. Cabaran KPM adalah untuk menyediakan kurikulum yang sesuai bagi kanak-kanak pintar cerdas ini.





2.2  JURANG SOSIOEKONOMI

Status sosioekonomi keluarga telah dianggap sebagai salah satu peramal yang terbaik untuk pencapaian akademik oleh pengkaji pendidikan, pendidik dan masyarakat umum sejak beberapa dekad yang lalu. KPM telah menggariskan bahawa jurang sosioekonomi merujuk kepada perbezaan daripada segi tahap kesihatan, disiplin, kebajikan pelajar dan kemiskinan termasuklah kemiskinan dalam bandar. (Pelan Induk Pendidikan Malaysia: 2006-2010).

Menurut Pelan Induk Pendidikan Malaysia untuk tahun 2006 hingga 2025, KPM telah lama sedar bahawa perbezaan sosioekonomi menimbulkan cabaran besar dalam mencapai kesamarataan dalam keberhasilan pendidikan. Ketaksamarataan pendidikan ini rata-ratanya disebabkan oleh pendapatan ibu bapa murid dan lokasi mereka bersekolah, berkait rapat dengan pencapaian murid. Bagi menanganinya, kerajaan komited mengurangkan ketaksamarataan ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan bantuan kewangan kepada murid kurang mampu. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk mengukur kaitan antara latar belakang sosioekonomi murid dengan pencaipan akademik pelajar. Sebahagiannya ialah pencapaian pendidikan ibu bapa, purata negeri dalam pendapatan isi rumah, dan peratus murid menerima bantuan kewangan asas.

Secara amnya, indikator biasa yang digunapakai untuk mengukur taraf sosioekonomi termasuk pendapatan ibu bapa, tahap pedidikan ibu bapa serta pekerjaan ibu bapa kerana ini mempengaruhi sikap dan fikiran anak-anak di awal perkembangan mereka. Keluarga yang berada selalu dikategorikan dengan mempunyai sikap yang optimis, harapan yang tinggi dan berfikiran terbuka. Sementara bagi keluarga yang berpendapatan rendah pula dikatakan mempunyai sikap yang pesimis, harapan rendah, tidak berfikiran terbuka dan pendiam. Pelajar yang mempunyai ibu bapa berfikiran terbuka biasanya mereka di dalam golongan yang berpendidikan tinggi. Bukan itu sahaja, mereka yang berpendapatan rendah mungkin tidak mampu menyekolahkan anak kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi seperti pakaian seragam dan pengangkutan. Ditambah lagi ibu bapa yang majoritinya adalah yang tiada pendidikan menyumbang kepada faktor ketidakhadiran ke sekolah seterunya menjadikan jurang ini semakin jauh. Ketidakfahaman dalam subjek matematik tidak langsung dipedulikan oleh golongan ini.


2.3  JURANG ANTARA TAHAP PENCAPAIAN PELAJAR

KPM menggariskan dalam PIPP bahawa jurang antara tahap pencapaian pelajar merujuk kepada kesulitan menguasai 3M, kegagalan mencapai standard minimum dan pelajar berisiko tinggi untuk cicir daripada sistem pendidikan. Jurang pencapaian murid dalam penguasaan 3M merangkumi membaca, menulis dan mengira. Dalam situasi ini, kebanyakan murid sekolah rendah tidak mampu menguasai 3M disebabkan oleh pelbagai faktor, sama ada faktor dalaman atau luaran. Selain itu, kegagalan mencapai standard minimum seperti yang dihasratkan KPM merupakan salah satu faktornya. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang murid itu berisiko tinggi tercicir daripada sistem pendidikan.

Ini kerana, asas 3M merupakan kemahiran yang perlu dikuasai tahap satu persekolahan iaitu dari darjah 1 hingga 3. Kini, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) fokusnya kepada 4M yang mana M seterusnya ialah menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal dan logik. Sudah tentulah keupayaan mengira dan menaakul amat perlu dikuasai untuk memahami subjek matematik dengan baik. 

Disebabkan itu, kerjasama antara ibu bapa dan sekolah amat diperlukan. Ibu bapa merupakan tempat pendidikan awal kanak-kanak. Seseorang pelajar hanya akan meminati subjek matematik sekiranya didedahkan daripada awal subjek ini kepada mereka. Malangnya saban hari alasan yang diberi ialah tiada masa kerana tugas yang menggunung sehingga tanggungjawab memberikan pengajaran kepada anak diabaikan. Kanak-kanak mampu mempelajari matematik dengan mudah seawal usia dua tahun. Mereka menjadi malu apabila memasuki darjah 1 tetapi masih tidak menguasai kemahiran mengira dengan baik.   


2.4  JURANG BANDAR DAN LUAR BANDAR.

Seterusnya, jurang pencapaian pelajar sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Matematik juga menjadi isu yang diperdebatkan. Seperti diketahui, pencapaian pelajar sekolah luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian sekolah luar bandar. Mata pelajaran Matematik dianggap subjek yang sukar utuk dikuasai. Namun, pada tahun 2003, setelah KPM menyarankan agar subjek matematik diajar dalam Bahasa Inggeris jurang pencapaian matematik bagi pelajar luar bandar dan pelajar bandar menjadi lebih besar.






Rajah 1: Perbandingan Jurang Sekolah Luar Bandar dan Bandar

Ianya dapat digambarkan seperti graf di atas. Keputusan peperiksaan UPSR dan SPM seperti di dalam gambarajah jelas menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara di antara pencapaian pelajar daripada sekolah luar bandar dan bandar pada tahun 2011 iaitu perbezaan gred purata sebanyak 3.8% untuk peperiksaan UPSR dan 8.0% bagi peperiksaan SPM. Sekolah di bandar ternyata menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding pelajar sekolah di luar bandar. Beberapa faktor dikenalpasti menyebabkan berlakunya jurang pencapaian ini. Antaranya faktor yang paling utama ialah lokaliti sekolah, di Bandar dan luar bandar.

PIPP menggariskan jurang antara bandar dan luar bandar merujuk kepada ketidaksamarataan daripada segi penyediaan infrastruktur dan penempatan guru terutama di Sekolah Kurang Murid (SKM), sekolah Orang Asli dan sekolah di pedalaman. Perbandingan ini dapat dilihat dengan ketara melalui beberapa perkara.

Pertama, perbandingan kemudahan infrastruktur yang disediakan untuk bandar dan luar bandar. Rajah 2 di bawah menunjukkan bilangan sekolah rendah dan sekolah menengah yang kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas.

Text Box: Rajah 2
Text Box: Rajah 3

Pada tahun 2005, terdapat 5,077 buah sekolah rendah dan 729 buah sekolah menengah di luar bandar. Daripada jumlah ini 767 buah sekolah rendah dan 28 buah sekolah menengah yang masih belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Janakuasa yang dibekalakan pula berkuasa rendah dan tidak mencukupi untuk menampung penggunaan ICT di sekolah di samping menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel terutama di sekolah-sekolah yang jauh di pedalaman.  Cabaran KPM adalah untuk membekalkan janakuasa yang berkuasa tinggi menyediakan mekanisme penyelenggaraan janakuasa dan pembekalan diesel agar sekolah-sekolah ini dapat memanfaatkan penggunaan ICT sepenuhnya. Kebanyakan sekolah mempunyai bekalan air awam kecuali di 1517 sekolah rendah dan 68 sekolah menengah. Sekolah-sekolah ini hanya menggunakan air dari sungai atau air terjun dan juga air tadahan hujan sahaja. Sebanyak 1,639 buah sekolah rendah tidak mempunyai bilik sains dan 42 buah sekolah masih menumpang di sekolah lain. Bagi sekolah menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal komputer, 25 buah tidak mempunyai makmal sains dan 26 masih menumpang di sekolah lain. 858 sekolah rendah dan 748 sekolah menengah beroperasi dalam dua sesi.

Kedua, penempatan Guru di sekolah luar bandar dan di bandar. Penempatan guru-guru berkelayakan masih lagi tidak sekata. Pihak KPM menghadapi kesukaran dalam menempatkan guru-guru terlatih dan berpengalaman terutamanya bagi mata pelajaran yang kritikal seperti Matematik di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ia menjadi cabaran buat KPM dalam mengagihan guru mengikut opsyen di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

Ketiga, bilangan murid di sekolah luar bandar dan bandar. Sekolah Kurang Murid (SKM) ialah sekolah yang mempunyai enrolmen pelajar kurang daripada 150 orang. Sehingga tahun 2005, terdapat 2,261 sekolah rendah yang dikategorikan sebagai SKM. Hampir 90 peratus SKM ini berada dalam keadaan daif. Kos penyelenggaraan yang tinggi diperlukan untuk membaik pulih sekolah ini, Namun SKM menghadapi masalah kekurangan peruntukan, kemudahan dan guru terlatih. Guru sedia ada di SKM tidak bersesuaian di dengan keperluan SKM. Misalnya guru opsyen geografi diminta mengajar subjek Matematik akibat kekurangan guru mengikut opsyen. Pdp bagi setiap subjek sukar dijalankan memandangkan jumlah pelajar yang terlalu kecil. SKM mengamalkan pengajaran kelas bercantum iaitu mengajar sebuah kelas yang terdiri daripada pelbagai tahun persekolahan. Ini menyebabkan pelbagai tahap kepandaian berada di dalam kelas yang sama.

Keempat, sokongan moral iu bapa amat diperlukan dalam mempelajari subjek matematik. Ibu bapa yang berada di luar bandar kadangkala mempunyai mentaliti yang ortodoks. Mereka tidak menyedari kepentingan ilmu dan pendidikan anak-anak tidak dititikberatkan. Apabila ini berlaku, anak-anak akan kurang minatnya untuk belajar. Namun ianya berbeza bagi pelajar yang berada di bandar. Mereka majoritinya mendapat pendedahan yang meluas mengenai kepentingan ilmu. Ibu bapa berlumba-lumba menyediakan suasana yang kondusif agar anak-anak mereka berminat untuk belajar. Malah subjek matematik diberi penekanan yang menyeluruh kerana sentiasa dimomokkan dengan kegagalan mencapai kecemerlangan subjek matematik boleh menyebabkan kegagalan menyambung pelajaran dan tiada peluang pekerjaan di masa hadapan. 


3.0 CADANGAN MENGATASI JURANG PENDIDIKAN MATEMATIK

Pada setiap permasalahan yang timbul, sama ada cara mengatasi atau cara mengurangkan masalah tersebut perlulah dikenal pasti. Oleh sebab itu, beberapa cadangan untuk mengatasi masalah jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar adalah seperti senarai di bawah.

Pertama, dalam mengatasi jurang tahap pencapaian pelajar, masalah penguasaaan 3M perlu diatasi sedari awal. Program pemulihan khas disediakan untuk mereka dalam usaha merapatkan jurang pencapaian mereka. Kelas pemulihan merupakan satu usaha KPM dalam usaha mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah. Penumpuan diberi khusus kepada kemahiran 3M di bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini.

Kerjasama antara guru dan juga sekolah amatlah diperlukan. Guru-guru boleh memanggil ibu bapa bagi pelajar bermasalah ini dan berbincang dengan mereka di sekolah. Keberkesanan program pemulihan memerlukan penggemblengan semua pihak termasuklah sekolah dan ibu bapa. Sekiranya penguasaan 3M tidak diatasi secara serius kita akan melahirkan generasi buta huruf yang akan menjadi penghalang kepada kemajuan negara.

Kedua, peranan utama kerajaan dalam pencapaian pendidikan pelajar. Permasalahan- permasalahan ini dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Antaranya ialah kerajaan perlu menghantar lebih ramai guru yang berpengalaman mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris ke kawasan luar bandar. Kemudahan-kemudahan asas bagi sesebuah sekolah juga perlu diperbaiki oleh pihak kerajaan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif. Bekalan komputer dan sumber rujukan berbahasa inggeris juga perlu lebih banyak disalurkan kepada sekolah-sekolah luar bandar.

Ketiga, peranan guru dan sekolah dalam menyamaratakan pencapaian pelajar. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah mengadakan ceramah keibubapaan untuk ibu bapa pelajar-pelajar. Guru dan sekolah perlu memberi penerangan kepada ibu bapa tentang kepentingan anak-anak mendapat pendidikan secukupnya di sekolah. Hal ini penting bagi menjamin masa depan anak-anak mereka. Selain itu, kem motivasi untuk para pelajar juga perlu diadakan bagi menaikkan semangat mereka untuk belajar. Pendedahan mengenai perkembangan pendidikan semasa serta peluang pekerjaan masa kini juga perlu dilakukan oleh pihak sekolah kepada para pelajar.

Keempat, selain kerajaan, guru dan pihak sekolah, ibu bapa terutamanya memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga berbanding guru-guru dan rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, sokongan dan bimbingan dari ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk mereka. Ibu bapa di luar bandar perlu lebih berfikiran terbuka dan optimis dalam setiap perkara yang berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka. Hubungan yang baik dengan pihak sekolah dan guru juga perlu diwujudkan oleh setiap ibu bapa untuk mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, jurang pencapaian pelajar sekolah luar bandar dan bandar dalam mata pelajaran Matematik dapat dikurangkan samada jika diajar dalam Bahasa Inggeris ataupun tidak.

Text Box: Jadual 1: Penyediaan Infrastruktur dalam RMKe-9 bagi Merapatkan Jurang Pendidikan

Akhir sekali, berdasarkan Jadual 1 di atas, kerajaan telah pun menyediakan infrastruktur bagi merapatkan jurang pendidikan. Namun ianya terhenti setakat 2010. Oleh sebab itu, ia perlu diteruskan hingga kini dan terbukti bahawa jurang pencapaian matematik luar bandar dan bandar dapat diatasi dengan penglibatan semua pihak. Antaranya kemudahan-kemudahan asas bagi sesebuah sekolah di luar bandar perlu diperbaiki oleh kerajaan dalam mewujudkan suasana yang kondusif. Subjek matematik akan menjadi subjek yang membosankan sekiranya pelajar tidak dapat menguasai mana-mana topik yang diajar. Dengan kemudahan yang disediakan seperti papan graf, alat-alat geometri untuk guru dan pelajar dan sebagainya mampu menjadikan matematik sebagai subjek yang menarik untuk dipelajari.

Jadual 5 di bawah menunjukkan beberapa strategi pelaksanaanbagi merapatkan jurang pendidikan oleh KPM yang telah dilaksanakan dan berjaya terlaksana hingga akhir tahun 2010.
Text Box: Jadual 2: Strategi Pelaksanaan bagi Merapatkan Jurang Pendidikan







4.0 KESIMPULAN

Jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar pasti dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak yang berkaitan. Ini disebabkan oleh kaedah-kaedah mengatasi yang dicadangkan adalah mempunyai harapan yang tinggi dalam mencapai transformasi pendidikan yang komprehensif dan berkesan. Pada masa hadapan, untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia terus relevan dan berkembang seiring dengan Negara-negara maju yang lain, semangat inovasi dan kreativiti dalam sistem ini haruslah digabung dan dipraktikkan semaksima mungkin. Anjakan paradigm mestilah berlaku pada setiap peringkat, sama ada di peringkat pusat kerajaan, negeri, daerah, sekolah, guru dan ibu bapa. Hanya melalui usaha yang bersepadu dan perubahan pada setiap pihak yang berkepentingan, dapat memastikan sistem pendidikan di Malaysia dapat benar-benar melangkau jauh dan seiring dengan cabaran di abad ke-21 ini yang senantiasa berubah.
Share on Google Plus

About Karmina Abdul Rahman

Merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik di UPSI. Juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Selangor. Selamat Berkongsi Ilmu.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment