1.0 PENGENALAN
Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) dengan kerjasama institusi-institusi pendidikan di Malaysia telah
berusaha sedaya mungkin dalam mencapai tahap pendidikan yang memuaskan bagi
setiap tahap pelajar. Oleh itu, KPM telah
melaksanakan beberapa dasar bagi memenuhi keperluan tahap tersebut. Pada amnya,
dasar KPM adalah untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, tahap
sosioekonomi dan tahap keupayaan setiap pelajar. Antara matlamat KPM adalah
untuk memastikan setiap sekolah dan pelajar mempunyai peluang dan keupayaan
yang sama untuk cemerlang dalam pencapaian pendidikan.
2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG
PENCAPAIAN MATEMATIK DALAM KALANGAN PELAJAR
KPM telah mengenalpasti jurang
pendidikan yang perlu dirapatkan supaya akses pendidikan, ekuiti dan kualiti
yang perlu dicapai dapat ditingkatkan. Jurang-jurang tersebut adalah seperti
berikut:-
a) Jurang
antara pelajar normal dengan pelajar berkeperluan khas.
b) Jurang
sosioekonomi.
c) Jurang
antara tahap pencapaian pelajar.
d) Jurang
bandar dan luar bandar.
2.1
JURANG ANTARA PELAJAR NORMAL DENGAN PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS.
Pendekatan pendidikan bagi pelajar
normal dan pelajar berkeperluan khas adalah berbeza mengikut keupayaan
masing-masing. Jurang antara kedua-dua kategori ini merujuk kepada perbezaan
penyediaan kemudahan-kemudahan yang sesuai bagi membantu proses pengajaran dan
pembelajaran pelajar berkeperluan khas termasuklah yang kurang upaya, pintar
cerdas dan berbakat.
2.1.1 Pelajar Berkeperluan Khas
Pendidikan
khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk
memenuhi keperluan kanak-kanak berkeperluan khas. Menurut Peraturan-peraturan
Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, pendidikan khas bermaksud pendidikan bagi
murid berkeperluan khas di suatu sekolah khas atau di sekolah yang melaksanakan
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI)
pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah
atau pendidikan lepas menengah. Pelajar-pelajar berkeperluan khas perlu diperakukan
oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi sebagai
murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran,
ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau
mana-mana kombinasi atau ketidakupayaan (Peraturan-peraturan Pendidikan, 2013).
Oleh
itu, pendidikan khas adalah program pendidikan yang menggunakan kaedah-kaedah
khusus sesuai untuk memenuhi keperluan perkembangan fizikal, intelek, emosi dan
sosial individu- individu yang berkeperluan khas, iaitu individu yang mengalami
pelbagai kecacatan atau kurang upaya atau yang pintar cerdas (gifted). Pada kebiasaannya pelajar
berkeperluan khas dianggap berhadapan dengan batasan keupayaan dengan
sendirinya bagi memperoleh keperluan biasa dan untuk hidup bermasyarakat kerana
had fizikal dan mental. Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025, di
Malaysia, hanya 1% daripada populasi Negara ini telah dikenal pasti sebagai
individu berkeperluan khas.
2.1.2 Pelajar Pintar Cerdas
dan Berbakat
Pintar
cerdas adalah satu kepintaran yang berfokus kepada kebolehan mengadaptasi,
membentuk dan memilih keadaan yang menjurus kepada sesuatu maklumat. Jika
dibandingkan dengan kebolehan perkembangan, kecerdasan seseorang yang pintar
cerdas juga merupakan satu kebolehan yang matang dari tahap sebenar umur
sesorang itu. Kamus Dewan edisi keempat telah mendefinasikan pintar sebagai
cekap, pandai, banyak akal, cerdik, licin serta mahir dalam membuat sesuatu
pekerjaan. Cerdas pula membawa maksud sempurna akal, cerdik, pandai serta
pintar. Berbakat pula bermaksud kanak-kanak yang mempunyai bakat merupakan
seseorang yang mempunyai kebolehan yang ada secara semulajadi. Ini bermaksud
kanak-kanak yang berbakat mempunyai kebolehan secara semulajadi. Disebabkan
itu, kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat kebanyakannya mempunyai potensi
yang tinggi dalam perkembangan dan pertumbuhan jika dibandingkan dengan
seseorang yang normal.
2.1.3 Pelajar normal
Pelajar
normal merujuk kepada mereka yang dapat belajar secara normal serta mudah
memahami sesuatu pelajaran berbanding mereka yang kurang upaya, namun bukanlah
sangat cerdas pintar atau berbakat.
Masyarakat
menganggap pelajar berkeperluan khas merupakan golongan kurang upaya. Namun
sebenarnya pelajar berkeperluan khas juga terdiri daripada mereka yang pintar
cerdas dan berbakat. Jika dibandingkan pencapaian antara pelajar normal dengan
pelajar berkeperluan khas sudah pasti adanya jurang pencapaian yang ketara di
antara mereka.
2.1.4 Jurang Pelajar
Normal dengan Pelajar Berkeperluan Khas.
Penyediaan
kemudahan kepada kedua-dua golongan pelajar ini telah menjadi isu utama dan
menampakkan jurang yang ketara dalam aspek pembelajaran. Pelajar berkeperluan
khas berbeza dalam aspek ciri-ciri mental, keupayaan sensori atau deria,
keupayaan komunikasi, tingkah laku sosial dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang
demikian, mereka memerlukan modifikasi atau perubahan dalam aktiviti-aktiviti
sekolah ataupun perkhidmatan pendidikan khas untuk mengembangkan potensi diri
ke tahap yang optimum dan tidak terabai untuk menjadikan mereka seperti
kanak-kanak normal. Jurang yang telah
terjadi dapat dibahagikan kepada dua mengikut kategori, iaitu jurang pelajar
normal dengan pelajar Pendidikan Khas (Orang Kelainan Upaya) dan dengan pelajar
pintar cerdas berbakat.
i)
Jurang
pelajar normal dengan pelajar Pendidikan Khas (Orang Kelainan Upaya)
KPM
telah cuba menyeimbangkan peluang-peluang pendidikan antara murid-murid khas
dengan murid-murid normal dalam pelbagai aspek seperti pembangunan fizikal dan
pembelian peralatan khas. Namun jurang pencapaian pendidikan masih ketara bagi
pelajar golongan ini walaupun sudah berada di dalam kelas aliran perdana dalam
program Pendidikan Inklusif ini.
Pertama,
pelajar pendidikan khas kurang mendapat perhatian dan tumpuan daripada guru.
Ini disebabkan oleh, pelajar Pendidikan
Khas kadangkala tidak menunjukkan minat untuk belajar matematik dan tidak boleh
mendengar arahan dengan baik menyebabkan guru terpaksa mengabaikan mereka dan
hanya mengajar pelajar normal daripada aliran perdana.
Kedua,
berlakunya penglabelan sebagai pelajar yang malas dan tidak mempunyai minat
terhadap subjek matematik kerana masalah kecacatan atau kurang upaya.
Ketiga,
guru sukar memberikan tumpuan kerana jurang pencapaian yang berbeza daripada
pelajar normal daripada aliran perdana. Guru telah cuba mengajar sedaya upaya
subjek matematik agar pelajar dapat menyelesaikan segala permasalahan matematik
yang diberikan. Namun, apabila terdapatnya golongan kelainan upaya ini di dalam
kelas yang sama, ini menyebabkan guru perlu mengubah aras soalan daripada
tinggi kepada aras soalan tahap rendah. Kesannya, ia telah mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran kerana tahap kecerdasan pemikiran yang berbeza
aras. Secara tidak langsung tumpuan terhadap pelajar pendidikan khas ini agak
kurang memandangkan guru perlu menghabiskan sukatan pelajar dalam tempoh yang
ditetapkan. Sedangkan pelajar pendidikan khas ini memerlukan tumpuan yang
lebih.
Keempat,
sikap guru yang tidak memahami masalah pelajar pendidikan khas dan berasa
terbeban dengan kehadiran mereka yang melambatkan proses pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas. Ini dapat digambarkan dengan perasaan terbeban dengan pelajar
pendidikan khas ini kerana mereka tidak mampu memahami dan menguasai topik
sukar dalam matematik yang diajar di dalam kelas. Apabila pencapaian mereka
yang berbeza berbanding dengan pelajar normal, ditambah lagi dengan sikap
pelajar yang tiada tumpuan di dalam kelas lama- kelamaan guru akan semakin
tidak mengendahkan mereka.
Akhir
sekali, sikap rakan sekelas sendiri yang tidak menerima kehadiran pelajar
pendidikan khas di dalam kelas kerana terdapat jurang antara pelajar kurang
upaya dengan pelajar normal seperti masalah bahasa dan komunikasi. Ini
disebabkan oleh pelajar pendidikan khas tidak mampu untuk berkomunikasi normal
dan rakan sekelas hanya mengejek dan merendah-rendahkan keupayaan mereka.
Walaupun
segala kemudahan telah disediakan untuk tujuan meningkatkan pencapaian mereka
namun masalah yang terdapat kepada pelajar berkeperluan khas ini sudah tentu
menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk membaca, mengeja, menulis dan
mengira. Ianya mengganggu gugat tahap pencapaian mereka dalam pendidikan
dibandingkan dengan perkembangan pelajar normal. Bahkan kebarangkalian
menggapai kecemerlangan bagi golongan ini adalah rendah. Namun tidak dinafikan
terdapat juga golongan ini yang berjaya dengan cemerlang dalam hidup dengan
berbekalkan semangat yang tinggi. Namun jumlahnya adalah kecil.
ii) Jurang pelajar
normal dengan pelajar pintar cerdas dan berbakat.
Setiap
individu mempunyai keupayaan atau potensi tertentu. Golongan pintar cerdas dan
berbakat adalah sumber modal insan yang perlu diberi perhatian khusus dalam
usaha membangunkan tamadun negara. Cabaran kepada pendidik dalam bidang pintar
cerdas dan berbakat adalah untuk mengenalpasti potensi serta bakat-bakat tertentu
yang ada pada diri setiap pelajar. Bakat mereka dalam bidang matematik sudah
tentu tidak dapat dinafikan lagi. Misalnya aset penting negara yang pintar
cerdas dalam Matematik iaitu Adi Putra yang telah memperkenalkan 235 formula
matematik baru.
Menurut
kepada pelan tindakan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010
(PIPP), sasaran bagi pendidikan murid-murid pintar cerdas adalah untuk
memperkenalkan program pintar cerdas dan berbakat iaitu dengan mengadakan
program pintar cerdas dan berbakat satu sekolah di setiap negeri. Kanak-kanak
pintar cerdas dan berbakat memerlukan program yang khusus bagi memenuhi
keperluan mereka. Cabaran KPM adalah untuk menyediakan kurikulum yang sesuai
bagi kanak-kanak pintar cerdas ini.
2.2 JURANG
SOSIOEKONOMI
Status
sosioekonomi keluarga telah dianggap sebagai salah satu peramal yang terbaik
untuk pencapaian akademik oleh pengkaji pendidikan, pendidik dan masyarakat
umum sejak beberapa dekad yang lalu. KPM telah menggariskan bahawa jurang
sosioekonomi merujuk kepada perbezaan daripada segi tahap kesihatan, disiplin,
kebajikan pelajar dan kemiskinan termasuklah kemiskinan dalam bandar. (Pelan
Induk Pendidikan Malaysia: 2006-2010).
Menurut Pelan Induk Pendidikan
Malaysia untuk tahun 2006 hingga 2025, KPM telah lama sedar bahawa perbezaan
sosioekonomi menimbulkan cabaran besar dalam mencapai kesamarataan dalam
keberhasilan pendidikan. Ketaksamarataan pendidikan ini rata-ratanya disebabkan
oleh pendapatan ibu bapa murid dan lokasi mereka bersekolah, berkait rapat dengan
pencapaian murid. Bagi menanganinya, kerajaan komited mengurangkan
ketaksamarataan ini melalui pelbagai inisiatif, termasuk penyediaan bantuan
kewangan kepada murid kurang mampu. Terdapat beberapa kaedah yang digunakan
untuk mengukur kaitan antara latar belakang sosioekonomi murid dengan pencaipan
akademik pelajar. Sebahagiannya ialah pencapaian pendidikan ibu bapa, purata
negeri dalam pendapatan isi rumah, dan peratus murid menerima bantuan kewangan
asas.
Secara amnya,
indikator biasa yang digunapakai untuk mengukur taraf sosioekonomi termasuk
pendapatan ibu bapa, tahap pedidikan ibu bapa serta pekerjaan ibu bapa kerana
ini mempengaruhi sikap dan fikiran anak-anak di awal perkembangan mereka.
Keluarga yang berada selalu dikategorikan dengan mempunyai sikap yang optimis,
harapan yang tinggi dan berfikiran terbuka. Sementara bagi keluarga yang
berpendapatan rendah pula dikatakan mempunyai sikap yang pesimis, harapan
rendah, tidak berfikiran terbuka dan pendiam. Pelajar yang mempunyai ibu bapa
berfikiran terbuka biasanya mereka di dalam golongan yang berpendidikan tinggi.
Bukan itu sahaja, mereka yang berpendapatan rendah mungkin tidak mampu
menyekolahkan anak kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi seperti pakaian
seragam dan pengangkutan. Ditambah lagi ibu bapa yang majoritinya adalah yang
tiada pendidikan menyumbang kepada faktor ketidakhadiran ke sekolah seterunya
menjadikan jurang ini semakin jauh. Ketidakfahaman dalam subjek matematik tidak
langsung dipedulikan oleh golongan ini.
2.3 JURANG ANTARA TAHAP
PENCAPAIAN PELAJAR
KPM menggariskan
dalam PIPP bahawa jurang antara tahap pencapaian pelajar merujuk kepada
kesulitan menguasai 3M, kegagalan mencapai standard minimum dan pelajar
berisiko tinggi untuk cicir daripada sistem pendidikan. Jurang pencapaian murid
dalam penguasaan 3M merangkumi membaca, menulis dan mengira. Dalam situasi ini,
kebanyakan murid sekolah rendah tidak mampu menguasai 3M disebabkan oleh
pelbagai faktor, sama ada faktor dalaman atau luaran. Selain itu, kegagalan
mencapai standard minimum seperti yang dihasratkan KPM merupakan salah satu
faktornya. Keadaan ini akan menyebabkan seseorang murid itu berisiko tinggi
tercicir daripada sistem pendidikan.
Ini kerana, asas
3M merupakan kemahiran yang perlu dikuasai tahap satu persekolahan iaitu dari
darjah 1 hingga 3. Kini, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
fokusnya kepada 4M yang mana M seterusnya ialah menaakul. Kemahiran menaakul
adalah keupayaan membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal dan
logik. Sudah tentulah keupayaan mengira dan menaakul amat perlu dikuasai untuk
memahami subjek matematik dengan baik.
Disebabkan itu,
kerjasama antara ibu bapa dan sekolah amat diperlukan. Ibu bapa merupakan
tempat pendidikan awal kanak-kanak. Seseorang pelajar hanya akan meminati
subjek matematik sekiranya didedahkan daripada awal subjek ini kepada mereka.
Malangnya saban hari alasan yang diberi ialah tiada masa kerana tugas yang menggunung
sehingga tanggungjawab memberikan pengajaran kepada anak diabaikan. Kanak-kanak
mampu mempelajari matematik dengan mudah seawal usia dua tahun. Mereka menjadi
malu apabila memasuki darjah 1 tetapi masih tidak menguasai kemahiran mengira
dengan baik.
2.4 JURANG BANDAR DAN
LUAR BANDAR.
Seterusnya, jurang
pencapaian pelajar sekolah bandar dan luar bandar dalam subjek Matematik juga
menjadi isu yang diperdebatkan. Seperti diketahui, pencapaian pelajar sekolah
luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian sekolah luar bandar. Mata
pelajaran Matematik dianggap subjek yang sukar utuk dikuasai. Namun, pada tahun
2003, setelah KPM menyarankan agar subjek matematik diajar dalam Bahasa
Inggeris jurang pencapaian matematik bagi pelajar luar bandar dan pelajar
bandar menjadi lebih besar.
Rajah 1:
Perbandingan Jurang Sekolah Luar Bandar dan Bandar
Ianya dapat digambarkan seperti graf
di atas. Keputusan peperiksaan UPSR dan SPM seperti di dalam gambarajah jelas
menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara di antara pencapaian pelajar
daripada sekolah luar bandar dan bandar pada tahun 2011 iaitu perbezaan gred
purata sebanyak 3.8% untuk peperiksaan UPSR dan 8.0% bagi peperiksaan SPM.
Sekolah di bandar ternyata menunjukkan pencapaian yang lebih baik berbanding
pelajar sekolah di luar bandar. Beberapa faktor dikenalpasti menyebabkan
berlakunya jurang pencapaian ini. Antaranya faktor
yang paling utama ialah lokaliti sekolah, di Bandar dan luar bandar.
PIPP menggariskan jurang antara
bandar dan luar bandar merujuk kepada ketidaksamarataan daripada segi
penyediaan infrastruktur dan penempatan guru terutama di Sekolah Kurang Murid
(SKM), sekolah Orang Asli dan sekolah di pedalaman. Perbandingan ini dapat
dilihat dengan ketara melalui beberapa perkara.
Pertama, perbandingan kemudahan
infrastruktur yang disediakan untuk bandar dan luar bandar. Rajah 2 di bawah
menunjukkan bilangan sekolah rendah dan sekolah menengah yang kekurangan
infrastruktur dan kemudahan asas.
Pada tahun 2005, terdapat 5,077 buah
sekolah rendah dan 729 buah sekolah menengah di luar bandar. Daripada jumlah
ini 767 buah sekolah rendah dan 28 buah sekolah menengah yang masih belum
mempunyai bekalan elektrik 24 jam. Janakuasa yang dibekalakan pula berkuasa rendah
dan tidak mencukupi untuk menampung penggunaan ICT di sekolah di samping
menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan diesel terutama di sekolah-sekolah
yang jauh di pedalaman. Cabaran KPM
adalah untuk membekalkan janakuasa yang berkuasa tinggi menyediakan mekanisme
penyelenggaraan janakuasa dan pembekalan diesel agar sekolah-sekolah ini dapat
memanfaatkan penggunaan ICT sepenuhnya. Kebanyakan sekolah mempunyai bekalan
air awam kecuali di 1517 sekolah rendah dan 68 sekolah menengah.
Sekolah-sekolah ini hanya menggunakan air dari sungai atau air terjun dan juga
air tadahan hujan sahaja. Sebanyak 1,639 buah sekolah rendah tidak mempunyai
bilik sains dan 42 buah sekolah masih menumpang di sekolah lain. Bagi sekolah
menengah, 138 buah tidak mempunyai makmal komputer, 25 buah tidak mempunyai
makmal sains dan 26 masih menumpang di sekolah lain. 858 sekolah rendah dan 748
sekolah menengah beroperasi dalam dua sesi.
Kedua, penempatan Guru di sekolah
luar bandar dan di bandar. Penempatan guru-guru berkelayakan masih lagi tidak
sekata. Pihak KPM menghadapi kesukaran dalam menempatkan guru-guru terlatih dan
berpengalaman terutamanya bagi mata pelajaran yang kritikal seperti Matematik
di kawasan luar bandar dan pedalaman. Ia menjadi cabaran buat KPM dalam
mengagihan guru mengikut opsyen di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi
memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.
Ketiga, bilangan murid di sekolah
luar bandar dan bandar. Sekolah Kurang Murid (SKM) ialah sekolah yang mempunyai
enrolmen pelajar kurang daripada 150 orang. Sehingga tahun 2005, terdapat 2,261
sekolah rendah yang dikategorikan sebagai SKM. Hampir 90 peratus SKM ini berada
dalam keadaan daif. Kos penyelenggaraan yang tinggi diperlukan untuk membaik
pulih sekolah ini, Namun SKM menghadapi masalah kekurangan peruntukan,
kemudahan dan guru terlatih. Guru sedia ada di SKM tidak bersesuaian di dengan
keperluan SKM. Misalnya guru opsyen geografi diminta mengajar subjek Matematik
akibat kekurangan guru mengikut opsyen. Pdp bagi setiap subjek sukar dijalankan
memandangkan jumlah pelajar yang terlalu kecil. SKM mengamalkan pengajaran
kelas bercantum iaitu mengajar sebuah kelas yang terdiri daripada pelbagai
tahun persekolahan. Ini menyebabkan pelbagai tahap kepandaian berada di dalam
kelas yang sama.
Keempat, sokongan moral iu bapa amat
diperlukan dalam mempelajari subjek matematik. Ibu bapa yang berada di luar
bandar kadangkala mempunyai mentaliti yang ortodoks. Mereka tidak menyedari
kepentingan ilmu dan pendidikan anak-anak tidak dititikberatkan. Apabila ini
berlaku, anak-anak akan kurang minatnya untuk belajar. Namun ianya berbeza bagi
pelajar yang berada di bandar. Mereka majoritinya mendapat pendedahan yang
meluas mengenai kepentingan ilmu. Ibu bapa berlumba-lumba menyediakan suasana
yang kondusif agar anak-anak mereka berminat untuk belajar. Malah subjek
matematik diberi penekanan yang menyeluruh kerana sentiasa dimomokkan dengan
kegagalan mencapai kecemerlangan subjek matematik boleh menyebabkan kegagalan
menyambung pelajaran dan tiada peluang pekerjaan di masa hadapan.
3.0
CADANGAN MENGATASI JURANG PENDIDIKAN MATEMATIK
Pada setiap
permasalahan yang timbul, sama ada cara mengatasi atau cara mengurangkan
masalah tersebut perlulah dikenal pasti. Oleh sebab itu, beberapa cadangan
untuk mengatasi masalah jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar
adalah seperti senarai di bawah.
Pertama, dalam
mengatasi jurang tahap pencapaian pelajar, masalah penguasaaan 3M perlu diatasi
sedari awal. Program pemulihan khas disediakan untuk mereka dalam usaha
merapatkan jurang pencapaian mereka. Kelas pemulihan merupakan satu usaha KPM
dalam usaha mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah
rendah. Penumpuan diberi khusus kepada kemahiran 3M di bawah kelolaan guru-guru
pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini.
Kerjasama antara
guru dan juga sekolah amatlah diperlukan. Guru-guru boleh memanggil ibu bapa
bagi pelajar bermasalah ini dan berbincang dengan mereka di sekolah.
Keberkesanan program pemulihan memerlukan penggemblengan semua pihak
termasuklah sekolah dan ibu bapa. Sekiranya penguasaan 3M tidak diatasi secara
serius kita akan melahirkan generasi buta huruf yang akan menjadi penghalang
kepada kemajuan negara.
Kedua, peranan utama kerajaan dalam pencapaian pendidikan
pelajar. Permasalahan- permasalahan ini dapat diatasi jika semua pihak
memainkan peranan masing-masing. Antaranya ialah kerajaan perlu menghantar
lebih ramai guru yang berpengalaman mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris ke
kawasan luar bandar. Kemudahan-kemudahan asas bagi sesebuah sekolah juga perlu
diperbaiki oleh pihak kerajaan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih
kondusif. Bekalan komputer dan sumber rujukan berbahasa inggeris juga perlu
lebih banyak disalurkan kepada sekolah-sekolah luar bandar.
Ketiga, peranan guru dan sekolah dalam menyamaratakan
pencapaian pelajar. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah mengadakan
ceramah keibubapaan untuk ibu bapa pelajar-pelajar. Guru dan sekolah perlu
memberi penerangan kepada ibu bapa tentang kepentingan anak-anak mendapat
pendidikan secukupnya di sekolah. Hal ini penting bagi menjamin masa depan
anak-anak mereka. Selain itu, kem motivasi untuk para pelajar juga perlu
diadakan bagi menaikkan semangat mereka untuk belajar. Pendedahan mengenai
perkembangan pendidikan semasa serta peluang pekerjaan masa kini juga perlu
dilakukan oleh pihak sekolah kepada para pelajar.
Keempat, selain kerajaan, guru dan pihak sekolah, ibu bapa
terutamanya memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan
anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak mempunyai lebih banyak masa bersama
keluarga berbanding guru-guru dan rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, sokongan
dan bimbingan dari ibu bapa dan keluarga sangat penting untuk mereka. Ibu bapa
di luar bandar perlu lebih berfikiran terbuka dan optimis dalam setiap perkara
yang berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka. Hubungan yang baik dengan
pihak sekolah dan guru juga perlu diwujudkan oleh setiap ibu bapa untuk
mengetahui perkembangan pendidikan anak-anak. Jika semua pihak memainkan
peranan masing-masing, jurang pencapaian pelajar sekolah luar bandar dan bandar
dalam mata pelajaran Matematik dapat dikurangkan samada jika diajar dalam
Bahasa Inggeris ataupun tidak.
Akhir sekali, berdasarkan Jadual 1 di
atas, kerajaan telah pun menyediakan infrastruktur bagi merapatkan jurang
pendidikan. Namun ianya terhenti setakat 2010. Oleh sebab itu, ia perlu
diteruskan hingga kini dan terbukti bahawa jurang pencapaian matematik luar
bandar dan bandar dapat diatasi dengan penglibatan semua pihak. Antaranya
kemudahan-kemudahan asas bagi sesebuah sekolah di luar bandar perlu diperbaiki
oleh kerajaan dalam mewujudkan suasana yang kondusif. Subjek matematik akan
menjadi subjek yang membosankan sekiranya pelajar tidak dapat menguasai
mana-mana topik yang diajar. Dengan kemudahan yang disediakan seperti papan
graf, alat-alat geometri untuk guru dan pelajar dan sebagainya mampu menjadikan
matematik sebagai subjek yang menarik untuk dipelajari.
Jadual 5 di bawah menunjukkan
beberapa strategi pelaksanaanbagi merapatkan jurang pendidikan oleh KPM yang
telah dilaksanakan dan berjaya terlaksana hingga akhir tahun 2010.
4.0 KESIMPULAN
Jurang
pencapaian matematik dalam kalangan pelajar pasti dapat diatasi dengan
kerjasama semua pihak yang berkaitan. Ini disebabkan oleh kaedah-kaedah
mengatasi yang dicadangkan adalah mempunyai harapan yang tinggi dalam mencapai
transformasi pendidikan yang komprehensif dan berkesan. Pada masa hadapan,
untuk memastikan sistem pendidikan di Malaysia terus relevan dan berkembang
seiring dengan Negara-negara maju yang lain, semangat inovasi dan kreativiti
dalam sistem ini haruslah digabung dan dipraktikkan semaksima mungkin. Anjakan
paradigm mestilah berlaku pada setiap peringkat, sama ada di peringkat pusat
kerajaan, negeri, daerah, sekolah, guru dan ibu bapa. Hanya melalui usaha yang
bersepadu dan perubahan pada setiap pihak yang berkepentingan, dapat memastikan
sistem pendidikan di Malaysia dapat benar-benar melangkau jauh dan seiring
dengan cabaran di abad ke-21 ini yang senantiasa berubah.
0 comments:
Post a Comment