CONTEMPORARY ISSUES IN MATHEMATICS

PENDIDIKAN MATEMATIK

Tugasan 1: Asal usul, tujuan dan struktur pendidikan matematik di Malaysia.

Tugasan 1:

1.     PENGENALAN

Pendidikan matematik di Malaysia berkembang dengan pesat sekali selaras dengan tuntutan masyarakat yang bergerak pantas ke arah persekitaran yang semakin maju. Masyarakat hari ini mengharapkan pendidikan akan menyediakan peluang kepada semua pelajar agar celik matematik. Secara umumnya, perubahan kurikulum ini melibatkan lima fasa, iaitu Zaman Pramerdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka (1957-1970), Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010). 

2.     PENDIDIKAN ZAMAN PRAMERDEKA (SEBELUM 1957)           
Sistem pendidikan negara kita telah wujud sejak zaman kegemilangan Empayar Melaka iaitu dari tahun 1400 sehingga tahun 1786. Dengan kedatangan agama Islam ke Melaka, pendidikan pada zaman tersebut adalah berteraskan agama Islam. Namun apabila Portugis menawan Melaka pada tahun 1511, mereka telah memperkenalkan pendidikan berasaskan agama Kristian mazhab Roman Katolik dan mazhab Protestant apabila Melaka jatuh ke tangan Belanda. Pendidikan bertukar sekali lagi kepada pendidikan Inggeris apabila Inggeris memerintah Tanah Melayu (1786). Walaupun zaman kolonialisme British merentasi lebih kurang dua abad, negara Jepun telah memerintah Negara ini dari tahun 1942-1945 setelah tamat Perang Dunia Kedua. Hampir semua sekolah sedia ada diarah tutup melainkan sebilangan kecil sahaja dibuka untuk mengajar Bahasa Jepun.  

Di bawah pemerintahan British (1854), kaum Melayu, Cina dan India diasingkan dari segi pendidikan melalui dasar Pecah dan Perintah.  Ianya bertujuan untuk menimbulkan pembahagian dalam kalangan rakyat jelata.

Secara ringkasnya orang Melayu diberi pendidikan asas selama enam tahun sahaja di mana kemahiran asas melalui Ilmu Hisab dibekalkan agar anak-anak lelaki berupaya mengendalikan urus niaga perniagaan secara kecil-kecilan apabila dewasa nanti di samping nilai-nilai murni. Bagi orang India mereka diberi pendidikan asas dalam tempoh yang sama dan menjadi buruh di ladang-ladang getah dan trek keretapi. Orang Cina pula menerima pendidikan berasasakan kurikulum dari Negara Cina sendiri.

Selepas Perang Dunia Kedua sistem pendidikan merangkumi tahap rendah, menengah, latihan perguruan dan pendidikan tinggi.  Semasa pemerintahan Jepun selama tiga tahun, jentera pemerintahan Negara ini telah mengalami pelbagai masalah pendidikan. Kerajaan British telah merancang untuk menstruktur semula sistem pendidikan di Negara ini. Maka terhasil Rancangan Cheeseman. Namun ianya tidak berfokuskan kepada integrasi sosial dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan lupus begitu sahaja. Lantaran itu orang Melayu masih kekal dalam perjuangan mereka untuk menuntut reformasi dalam bidang pendidikan yang kemudiannya dimanifestasi dalam pelbagai laporan pendidikan. Antaranya termasuklah Laporan Barnes, Laporan Fenn-Wu, Ordinan Pelajaran 1952 dan Penyata Razak 1956:
a.     Laporan Barnes (1951)- menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu.
b.     Laporan Fenn-Wu (1951)- menyemak pendidikan kaum Cina
c.     Ordinan Pelajaran (1952) – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan.
d.     Laporan Razak (1956) – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Pendidikan semasa zaman pramerdeka menunjukkan bahawa subjek Ilmu Hisab
(Matematik) telah pun wujud. Namun silibus matematik yang diajar di sekolah masih belum diselaraskan. Setiap sekolah bebas memilih mana-mana buku teks dan topik yang difikirkan sesuai untuk diajar pada ketika itu. Silibus matematik akhirnya dikukuhkan lagi dengan wujudnya kurikulum rasmi bagi pendidikan matematik pada tahun 1956 selepas cadangan Penyata Razak. Namun hanya terdapat perubahan kecil sahaja pada tajuk aritmetik dan beberapa tajuk lain. Melalui cadangan-cadangan Penyata Razak juga, latihan perguruan di negara ini pun mula berkembang.  Kerajaan British telah berusaha mendapatkan sebuah maktab perguruan di United Kingdom  bertujuan melatih bakal guru-guru dari Tanah Melayu iaitu Kirby Teachers’ Training College.  Subjek Matematik terkandung dalam kurikulum sebagai subjek wajib bagi latihan perguruan yang perlu dipelajari bakal guru-guru di samping beberapa subjek lain.





3.     ZAMAN PASCA MERDEKA (1957-1970)

a)    Penyata Rahman Talib 1961

Lanjutan kepada Penyata Razak (1956), kerajaan meneruskan usaha memantapkan lagi
sistem pendidikan Negara. Lantaran itu satu laporan telah dihasilkan oleh jawatankuasa yang dikenali sebagai  Penyata Rahman Talib  dan seterusnya menjadi asas kepada pembentukan Akta Pelajaran 1961. Penyata Rahman Talib menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan. Penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang dilaksanakan kepada semua pelajar adalah sama.

b)    Projek Khas 1970

            Perubahan besar dalam subjek Matematik hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970. Ia merupakan Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia dan bermula pada 1968 diketuai oleh Encik Abu Hassan Ali. Objektif projek ini adalah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di Negara-negara maju. Projek Khas ini dibiayai oleh Yayasan Asia dan beberapa ahli American Peace Corps dilantik menjadi penasihat. Alat bantu mengajar yang digunakan untuk sesi pembelajaran dan pembelajaran direkacipta oleh pensyarah dan guru yang yang telah dilatih di luar negara. 

Impak daripada Projek Khas ini berlaku beberapa perubahan minor pada sukatan pelajaran matematik di sekolah rendah. Pendekatan baru iaitu kaedah berpusatkan murid (pupil-centered strategy) dan berpusatkan bahan (material-centered strategy) serta kaedah inkuiri penemuan diperkenalkan (inquiry-discovery method). Tujuannya adalah untuk menimbulkan minat terhadap pelajaran Matematik dan melahirkan murid-murid yang boleh memahami dan mengukuhkan konsep matematik melalui aktiviti kumpulan dan matematik sebagai penyelesaian masalah seharian.

Selepas Rusia melancarkan satelit SPUTNIK 1 pada tahun 1957, transformasi ke atas pendidikan sains dan matematik berlaku dengan pesat di Barat. Antaranya ialah Nuffield Mathematics Project (NMP) yang dilancarkan pada 1964 di Britain yang menjadi bahan rujukan utama bagi Projek Khas ini. Kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dalam NMP adalah berdasarkan Teori Piaget yang mengatakan bahawa pembelajaran awal kanak-kanak adalah lebih berkesan dengan penggunaan bahan maujud yang telah diguna pakai dalam Projek Khas ini.

Kajian daripada Projek Khas ini dilancarkan pada 1970 di 30 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur sebagai percubaan. Guru-guru yang terlibat diberi kursus dalam perkhidmatan. Mereka didedahkan dengan strategi pengajaran dan pembelajaran  dan dibekalkan buku panduan mengajar dan pelbagai alat bantu mengajar. Pada tahun 1971, ianya diperkenalkan di sekolah rendah di seluruh Malaysia. Program Projek Khas ini telah diubahsuai dari masa ke semasa melalui penilaian dan saranan daripada guru dan nazir serta sukarelawan daripada Amerika sebelum digantikan dengan Matematik KBSR yang telah dilaksanakan sepenuhnya pada 1983.  



c)     Program Matematik Moden (1970)

Sekumpulan penulis buku matematik iaitu Scottish Mathematics Groups (SMG) (1965-1969) telah menghasilkan sembilan buah buku teks Matematik Moden sekitar tahun 1965-1969 (Modern Mathematics for Schools).  SMG menjadi rujukan utama dalam Program Matematik Moden pada tahun 1970 bagi menengah rendah. Beberapa subjek baru seperti teori set, statistik dan vektor diperkenalkan.

4.     ZAMAN DASAR EKONOMI BARU (1971-1990)

Malaysia mengalami perubahan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB, 1970-1990) yang bermatlamat mengukuhkan perpaduan negara melalui pembasmian kemiskinan dalam kalangan semua kaum dan penyusunan semula masyarakat. Pendidikan diberi keutamaan dan sama rata untuk semua kaum.

a)    Program Matematik Moden (1970)

Dalam tempoh ini, Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan sejak 1969 telah mengguna pakai topik-topik daripada School Mathematics Project (SMP) (1972) bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan 4 dan  Matematik Moden Tingkatan 5 telah diterbitka pada 1974 dan 1975.  Sukatan Pelajaran Matematik Moden dirancang dengan tujuan menghasilkan sukatan Matematik yang lebih progresif. SMP telah memberi pengaruh yang besar dalam penghasilan buku teks matematik moden Malaysia.
Seterusnya kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978. Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.

b)    Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)           

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983) dilaksanakan dengan tujuan mengembangkan kemahiran mengira dalam kalangan murid. Beberapa topik dalam sukatan matematik diubah suai semula selaras dengan kebolehan pelajar di Malaysia. Sukatan Matematik dibahagikan kepada dua peringkat. Aras I (Tahun 1-3) memberi penekanan kepada penguasaan konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi manakala Aras II (Tahun 4-6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah.

Perubahan kurikulum ini adalah sebahagian daripada reformasi Kurikulum Pendidikan Negara yang menyebabkan berlakunya perubahan besar dalam kurikulum Matematik. KBSR bertujuan menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1988 yang menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

5.      ZAMAN DASAR PEMBANGUNAN NEGARA (1991-2000)

Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan Negara.
Sudah tentu subjek Matematik diberi penekanan yang lebih dan meluas bagi memastikan Malaysia sentiasa seiring dengan Negara-negara maju.

a)    Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) (1994)

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Pada tahun 1998, sekali lagi berlaku perubahan kepada Kurikulum Matematik. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira. Pelajar diharapkan mampu menguruskan aktiviti seharian mereka dengan lebih sistematik berdasarkan pengetahuan matematik yang diperolehi dan terus maju serta melanjutkan pelajaran di masa akan datang dalam pembentukan modal menyumbang kepada kemajuan  masyarakat dan negara. Perubahan yang dibuat ini adalah selaras dengan kehendak dan cita-citanya murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.
           
b)    Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)

      Selaras dengan hasrat Negara kita untuk mencapai wawasan 2020 serta perkembangan pesat dalam era sains dan teknologi, Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha untuk mengubahsuai sistem pendidikan di negara ini. Sehubungan itu, pemangkin yang difikirkan sesuai ke arah pengubahsuaian ini adaalah pembentukan Sekolah Bestari (1995) yang dilengkapi dengan sistem teknologi terkini.

Sukatan Matematik disemak semula bagi merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam visi 2020. Semakan semula pada tahun 1998 memastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan mengadaptasi dalam situasi kehidupan harian. Akhirnya jawatankuasa berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama. Setiap tajuk telah disusun daripada mudah kepada susah. Tajuk-tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.

6.     Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010)

Pada abad ke-21, Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan program Pembangunan Pendidikan (2001-2010) yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.

a)    Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Pada Bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan enam rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar  dapat mengakses maklumat  untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.

b)    Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025)

Berdasarkan Gelombang 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberikan tumpuan pada peningkatan prestasi sistem pendidikan negara. Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) adalah pentaksiran peringkat antarabangsa yang merupakan instrumen yang digunakan sebagai penanda aras kualiti pendidikan Sains, Matematik dan Bacaan. PPPM menyasarkan pada tahun 2015, Malaysia mencapai sekurang-kurangnya purata antarabangsa dalam pentaksiran berkenaan. Menjelang tahun 2025 pula, PPPM menyasarkan agar Malaysia berada pada kedudukan satu pertiga teratas dalam kedua-dua pentaksiran TIMSS dan juga PISA.

Dalam usaha merealisasikan hasrat PPPM, Bahan Sumber Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Sains dan Matematik dibangunkan dengan berteraskan pembentukan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Peningkatan KBAT dalam kalangan murid adalah kritikal bagi memastikan murid dapat menjawab soalan TIMSS dan PISA dengan baik. Dapatan TIMSS dan PISA jelas menunjukkan murid di Malaysia lemah dalam domain kognitif yang melibatkan KBAT seperti menaakul, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

Bahan sumber PdP Sains dan Matematik ini dibangunkan berasaskan gabungan kerangka kurikulum kebangsaan dan juga Kerangka Kerja TIMSS dan PISA yang berteraskan KBAT. Beberapa tajuk seperti Kebarangkalian bagi mata pelajaran Matematik dan Sains Bumi bagi mata pelajaran Sains perlu diajar kepada murid-murid yang bakal menduduki TIMSS dan PISA memandangkan tajuk-tajuk ini dinilai dalam pentaksiran yang berkenaan.

Guru perlu menggunakan bahan sumber ini dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah atau di masa lain yang telah diperuntukkan. Usaha ini penting dalam memastikan murid dibekalkan dengan kemahiran berfikir, kritis dan kreatif serta dapat meningkatkan pencapaian negara seperti yang dihasratkan oleh PPPM.


Share on Google Plus

About Karmina Abdul Rahman

Merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik di UPSI. Juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Selangor. Selamat Berkongsi Ilmu.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment