ISU- ISU BERKAITAN
PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
1.0 Pendahuluan
Peranan guru masa kini semakin
mencabar dengan adanya perkembangan teknologi maklumat yang pesat tanpa
sempadan dan juga melangkah seiring dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu serta
teknologi sebagai penggalaas amanah dan tanggungjawab terhadap bangsa dalam
membina negara bangsa. Penguasaan teknologi maklumat dapat membantu guru
menghadapi ranjau dan cabaran dalam dunia pendidikan kini.
Fungsi guru sebagai agen perubahan
social dapat memenuhi permintaan masyarakat melaluiu ilmu dan kemahiran yang
dimiliki seterusnya menjadi rujukan dan idola dalam masyarakat. Kemahiran guru
dalam teknologi maklumat dapat membantu pelajar untuk menguasai kemahiran dan
ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta potensi pelajar, sekaligus
dapat melahirkan modal insan cemerlang berminda kelas pertama sebagaimana yang
telah digarapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Tanggungjawab
ini sememangnya terpikul di atas bahu para guru yang komited dengan tugas serta
bersedia dan sanggup menerima perubahan mengikut peredaran masa. Semua ini menuntut
pengorbanan yang besar dalam kalangan guru-guru untuk terus menambah ilmu dan
kemahiran, bertepatan dan bersesuaian dengan konsep pembelajaran sepanjang
hayat.
2.0 Keperluan Teknologi Maklumat
Teknologi maklumat pada masa kini
menjadi satu keperluan yang mandiri dalam setiap bidang. Tambahan pula, segala
kelebihan dan manfaatnya tidak dapat dipertikai lagi. Antara lain adalah:
1. Meningkatkan tahap kefahaman sesuatu
konsep, memberi gambara visual dan memudahkan pengiraan kompleks.
2. Merangsang murid untuk belajar secara
berkesan dengan bimbingan yang minimum.
3. Membantu murid dalam proses penyelesaian
masalah dan komunikasi dengan lebih cepat dan tepat.
4. Mewujudkan peluang pembelajaran yang sama
kepada murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kecerdasan.
5. Membantu murid mendapat dan mengumpul
maklumat yang mungkin sukar diperoleh.
6. Mewujudkan suasana pembelajaran yang
seronok, mencabar dan bebrbentuk penerokaan.
7. Memupuk sifat ingin tahu dan ingin mencuba
pelajar.
8. Meningkatkan daya kreativiti, inovasi dan
imaginasi pelajar.
9. Menggalakkan pelajar merealisasikan
pembelajaran terarah kendiri dan pembelajaran akses kendiri.
Dasar Pembangunan Negara dalam Rancangan Malaysia
Kelapan (2001-2005) menegaskan kepentingan membangunkan dan memperluaskan
penggunaan teknologi maklumat dalam pembangunan pendidikan. Langkah ini
bertujuan merancakkan pertumbuhan, melatih professional, meningkatkan produktiviti,
memodenkan pengurusan teknologi maklumat dan pengetahuan, mengurangi jurang
digital dan memastikan semua rakyat mendapat manfaat dari teknologi maklumat.
Sektor pendidikan menkadi agen perubahan bagi
meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan generasi
muda. Keperluan terhadap penggunaan teknologi maklumat dalam pendidikan amat
dirasai kerana teknologi maklumat telah menjadikan dunia pendidikan sebagai hak
milik pelbagai lapisan masyarakat di mana pelbagai maklumat dan sumber pendidikan
dapat dicapai walau di mana jua berada. Pengaruh dan kemajuan era teknologi
maklumat mencetuskan inovasi dalam pengurusan pendidikan, penilaian serta
pengajaran dan pembelajaran.
Kewujudan masyarakat berpendidikan yang terbentuk
melalui pembudayaan komputer, internet dan multimedia menzahirkan kewujudan
masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan. Bangsa yang maju adalah bangsa
yang mementingkan perkembangan intelektual yang dirintis oleh kemajuan dunia
pendidikan. Dalam konteks ini, teknologi maklumat berperanan untuk meluaskan
penyebaran pemikiran manusia sebagai agen revolusi sosial. Pembaharuan
pendidikan dari segi pengajaran dan pembelajaran, sistem pengurusan
pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baru kepada
sistem pendidikan.
3.0
Isu-Isu Penggunaan Teknologi Maklumat Dalam Pengajaran
Dan Pembelajaran
3.1
Faktor Guru
a) Persepsi guru terhadap kepentingan
komputer
Walaupun ramai guru yang telah bersedia dengan
perubahan penggunaan komputer di dalam pengajaran, tetapi masih ada guru yang
lebih selesa dengan kaedah konvensional dan kebiasaannya belum bersedia
menerima perubahan, terutamanya apabila mereka perlu menukar semua sistem yang
telah lama mereka aplikasi. Antara contoh aplikasi teknologi dalam pengajaran
dan pembelajaran ialah VLE Frog, sistem HRMIS, sistem kehadiran pelajar dan
sistem PAJSK.
Satu kajian spesifik tentang VLE Frog telah
dilaksanakan di sebuah sekolah di Meru yang dibentangkan di persidangan
antarabangsa 2014 menunjukkan guru-guru bersetuju dengan perlaksanaan aplikasi
tersebut. Namun penggunaannya jarang diaplikasikan kerana pelajar masih tidak
terdedah dengan pembelajaan maya tersebut. Selain itu, bilangan pelajar yang
ramai juga mnyukarkan guru untuk memastikan setiap pelajar dapat menggunakaan
VLE Frog, di samping penggunaan makmal yang terhad. Berdasarkan analisis kajian
tersebut, lebih separuh daripada bilangan guru sekolah jarang menggunakan
aplikasi VLE Frog dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Mohiddin &
Khalid, 2014).
b) Kerisauan menghadapi perubahan
Guru-guru
turut berhadapan dengan kerisauan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan
teknologi masa kini. Antaranya ialah kerosakan peralatan dan kelengkapan
teknologi, keupayaan untuk mempelajari teknologi yang baru dan kurangnya
pengetahuan dalam penggunaan peralatan yang berkaitan.
Bagi
guru-guru yang terbiasa dan selalu menggunakan komputer untuk membantu
kerja-kerja harian mungkin akan menyebabkan kerjanya tergendala jika komputer
menghadapi masalah. Pembelajaran di dalam kelas juga akan terganggu apabila
berlaku perkara di luar jangkaan.
c) Masa dan beban tugas guru
Tidak
dapat dinafikan lagi, penggunaan
komputer memerlukan masa yang lama untuk guru menyediakannya dan
menyesuaikan diri. Persediaan tersebut termasuklah dari segi penyediaan bahan
mengajar hinggalah penyusunan bahan tersebut sesuai dengan masa mengajar yang
telah ditetapkan sebelum kelas bermula. Sesetengah guru mempunyai bilangan
waktu mengajar yang banyak, kadang kala sehingga 27 waktu seminggu, menjadikan
guru tersebut sukar untuk membuat persediaan mengajar dan juga untuk menyusun
bahan mengajar di makmal komputer.
Tambahan
pula, kebanyakan guru mempunyai tugas-tugas lain seperti memegang jawatan
sebagai setiausaha peperiksaan, guru data, ketua panitia, AJK PIBG dan
sebagainya. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk membuat persediaan yang
mantap jika mereka perlu menyediakan bahan mengajar mereka sendiri. Walaupun
guru-guru ini sedar akan kepentingan dan kelebihan menggunakan komputer,
tetapi mereka kurang menggunakannya
kerana kekangan masa dan waktu, begitu juga dengan masalah penyelenggaraan dan
kemahiran menggunakan perlatan berkaitan.
d) Kekurangan kemahiran dan pengetahuan
teknologi maklumat
Proses
pengajaran dan pembelajaran menggunakan peralatan dan kelengkapan teknologi
maklumat menuntut gutu untuk berkemahiran dalam membina dan mengintegrasikan
penggunaan multimedia. Sekurang-kurangnya para guru mampu menggunakan aplikasi
PowerPoint dengan input seperti rakaman suara, memasukkan video, grafik, dan
bunyi.
Tambahan
pula, tidak semua bahan mengajar telah disediakan untuk digunakan terus, tetapi
guru perlu menyediakannya dalam bentuk yang lebih menarik, namun seperti yang
dihuraikan sebelum ini, kekangan masa dan pengetahuan menggunakan aplikasi
teknologi maklumat membataskan para guru. Selain itu, penggunaaan peralatan dan
kelengkapan teknologi maklumat juga tidaklah sekerap pekerja pejabat yang
sehari-hari menggunakan komputer menjadikan tahap kecekapan guru kurang dalam
mengendalikan perisian komputer.
3.2
Faktor Sekolah
a) Peranan dan sikap pengetua sekolah
Sikap
pihak pengurusan sekolah, termasuklah pengetua, guru besar dan penolong kanan
adalah kritikal dalam membentuk dasar dan amalan para guru dan pelajar di peringkat
sekolah. Mereka ini adalah penggerak dan tonggak motivasi setiap guru supaya
berasa yakin diri untuk mempunyai misi dan objektif yang sama untuk
meningkatkan kualiti pendidikan sekolah. Pihak atasan sekolah yang tidak
mengambil berat dan tidak prihatin terhadap keperluan semasa dan masa hadapan
akan menyebabkan organisasi pendidikan ketinggalan berbanding yang lain-lain.
b) Sistem pendidikan berorientasikan
peperiksaan
Disebabkan
penekanan kepada pencapaian di dalam peperiksaan sangat dititik beratkan dalam
pendidikan di Malaysia, para guru telah diarahkan memberikan latihan sebanyak
mungkin kepada para pelajar. Buku latihan pelajar akan dipantau setiap masa
oleh pihak pentadbir sekolah bagi memastikan guru menjalankan tugas yang telah
diberikan. Penekanan ini bertujuan untuk melihat prestasi pelajar membuatkan
para guru tidak berminat untuk menggunakan perisian dan aplikasi komputer dan
pengajaran dan pembelajaran sehari-harian. Peperiksaan dianggap sebagai perkara
terpenting sama ada bagi guru, pelajar dan ibu bapa kerana menjadi penanda aras
dan kayu pengukur kepada kebolehan dan kemampuan setiap pelajar.
Disebabkan
itulah timbulnya kefahaman dan fenomena seperti, mengajar dan belajar untuk
peperiksaan. Guru hanya akan memfokuskan kepada isi kandungan dan kemahiran
yang akan dinilai dalam setiap peperiksaan, manakala para pelajar akan diajar
untuk mengingati model jawapan yang telah disusun. Di samping itu, guru akan
berusaha untuk menghabiskan sukatan pelajaran seberapa segera dengan harapan
akan mempunyai masa untuk memberikan soalan latih tubi untuk persediaan pelajar
mengahadapi peperiksaan. Kesannya, terhasilnya pelajar yang cemerlang tetapi
tidak memahami konsep-konsep yang penting untuk dipraktikkan di kemudian hari,
selain kurangnya daya pemikiran yang kreatif.
3.3
Prasarana dan bahan sokongan sekolah
a) Kemudahan dan kelengkapan teknologi
maklumat
Kelengkapan
teknologi maklumat sepatutnya tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja
tetapi melibatkan setiap warga sekolah. Perkara ini dapat dilihat dari bilangan
komputer yang disalurkan kepada sesebuah sekolah masih tidak mencukupi dalam
memaksimumkan penggunaan komputer sebagai medium pengajaran bagi setiap
pelajar. Bilik komputer yang disediakan juga adakalanya terdpat komputer yang
rosak, seperti dijangkiti virus, kelengkapan komputer yang tidak lengkap,
perisian dan aplikasi di dalam komputer bermasalah atau tidak boleh digunakan
dan sebagainya.
Di
samping itu, peruntukan waktu untuk menggunakan komputer juga tidak seiring
dengan perancangan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Ini memberi kesan kepada tahap kecekapan pelajar
menggunakan komputer dalam aplikasi pembelajaran. Begitu juga dengan bilangan
komputer yang dibekalkan di sekolah juga terhad kepada beberapa buah sahaja.
b) Pembekalan kelengkapan teknologi maklumat
yang tidak lengkap
Mutu dan kemudahan
peralatan teknologi maklumat yang kurang berpotensi mengganggu proses
penggunaannya dalam pembelajaran. Perkara ini dapat dilihat di kebanyakan
sekolah, tetapi tidak semua sekolah, di mana komputer yang dibekalkan tidak
berkualiti dan maju seiring peredaran zaman. Malah, ada sekolah yang masih
menggunakan komputer yang digunakan dia zaman 90-an.
c) Masalah prasarana dan penyelenggaraan
Kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kelengkapan
biasanya memakan kos yang tinggi, tambahan pula sekolah-sekolah mungkin tidak
mempunyai kakitangan yang cukup untuk menggunakan kelengkapan dan peralatan
yang berkaitan. Banyak makmal sekolah tidak terurus disebabkan tiada kepakaran
penyelenggaraan. Kos peralatan dan perisian komputer yang masih lagi tinggi,
ditambah pula dengan kos penyelenggaraan, tenaga kakitangan IT dan peralatan
bantuan. Kos-kos yang tinggi ini mempengaruhi yuran persekolahan yang memaksa
pihak sekolah menaikkan bayaran yuran para pelajar, terutamanya sekolah-sekolah
selain Sekolah Kebangsaan, seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah
Menengah Sains, Sekolah Besepadu Pendidikan Integrasi (SBPI) dan lain-lain.
Di samping itu, memandangkan kebanyakan makmal
komputer tidak mempunyai pembantu makmal sebagaimana makmal sains, maka
kerja-kerja penyelenggaraan menjadi tanggungjawab guru teknologi maklumat itu
sendiri. Ini memberi kesan kepada guru tersebut di mana tugasnya makin
bertambah, dengan masa yang diperlukan untuk menyelenggara adalah lama bagi
satu komputer sekiranya terdapat kerosakan.
3.4 Jurang teknologi
maklumat dan digital
Jurang
di antara satu komuniti dengan komuniti yang lain ialah dalam mengakses kepada
teknologi maklumat, mencapai maklumat serta memahami dan menggunakan maklumat.
Faktor-faktor
yang menyebabkan jurang digital ialah:
a)
faktor
ekonomi, iaitu tidak mampu membeli dan memiliki kelengkapan komputer.
b)
faktor
geografi, iaitu tempat yang tiada liputan internet dan bekalan elektrik.
c)
faktor
kemahiran bahasa dan literasi, iaitu tidak dapat membaca dan memahami bahasa
dengan baik.
Pelbagai punca yang
membawa kepada ketidakseimbangan jurang teknologi maklumat. Antara punca utama
ialah dari segi ekonomi, pendapatan,
pendidikan, kemudahan infrastruktur, pemodenan dan sebagainya. Punca-punca ini
memberi kesan terhadap kemajuan teknologi maklumat dan digital. Oleh yang demikian,
sekolah, pendidikan dan para guru perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi
menangani jurang ini, terutamanya dalam kalangan pelajar luar bandar. Antara
inisiatif yang boleh diambil ialah meningkatkan program pendidikan teknologi
maklumat dan memperluaskan peluang mengausai pengetahuan dan kemahiran
teknologi maklumat, khususnya pelajar miskin dan pelajar luar bandar.
4.0 Kesimpulan
Kemudahan
teknologi ada baik dan buruknya. Walaubagaimanapun, ianya membawa kepada
kebimbangan guru-guru atas daya kreativiti para pelajar dan juga kemahiran asas
seperti Matematik dan Bahasa. Namun, bagi meningkatkan penggunaan sejajar
dengan perkembangan dunia pendidikan semasa, guru-guru perlu mempunyai
pengetahuan yang luas berkaitan teknologi maklumat terutamanya dalam penggunaan
internet.
Proses
perlaksanaan transformasi pendidikan ini memerlukan pendekatan dan strategi
baru yang segar agar semua pihak dapat menerimanya termasuklah ibu bapa para
pelajar sekolah.
RUJUKAN:
Editorial Projects
in Education Research Center. (1 September 2011). Issues A-Z: Technology in
Education. Education Week. Dicapai
dari http://www.edweek.org/ew/issues/technology-in-education/.
Gani, A. W. I.,
Siarap, K., dan Mustafa, H. (2006). Penggunaan Komputer dalam Pengajaran-Pembelajaran
dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah: Satu Kajian Kes di Pulau Pinang. Kajian Malaysia, 24(1&2), 203-225.
Dicapai dari http://www.academia.edu/download/30921804/KM_ART_11.pdf.
Mahamod, Z., dan
Noor, N. A. M. (2011) Persepsi Guru Tentang Penggunaan Aplikasi Multimedia
Dalam Pengajaran Komponen Sastera Bahasa Melayu. GEMA: Online Journal of Language Studies, 11 (3). pp. 163-177. ISSN
1675-8021. Dicapai dari http://journalarticle.ukm.my/2768/.
Mohiddin, U. S. dan
Khalid, F. (2014). Tahap Pengetahuan Guru
Sekolah Rendah dalam Penggunaan VLE-Frog untuk Pengajaran & Pembelajaran.
Education for Diverse Learners. The 4th International Conference on
Learner Diversity 2014. pp 781-788.
Siraj, S., dan
Saleh, M. (2004). Pembelajaran Mobile dalam Kurikulum Masa Depan. Masalah Pendidikan, 27, 128-142. Dicapai
dari http://www.researchgate.net/profile/Saedah_Siraj/publication/251622205_Pembelajaran_Mobile_dalam_Kurikulum_Masa_Depan/links/551bf5dc0cf2909047b984c5.pdf.
Wakefield, J. (2
Februari 2015). Technology in Schools:
Future Changes in Classrooms. Dicapai dari http://www.bbc.com/news/technology-30814302.
0 comments:
Post a Comment