KUALITI pendidikan adalah isu yang
popular. Kejayaan masa depan negara banyak bergantung kepada keberkesanan
sistem pendidikan dalam menyediakan warga yang mampu menyerap konsep
pembelajaran abad ke-21 iaitu berfikiran kreatif aras tinggi dan pada masa
sama, tetap menjunjung nilai perpaduan, sesuai konteks masyarakat majmuk
Malaysia.
Program Advokasi Ilmuwan Majlis
Profesor Negara (MPN) siri kelima bersama Utusan Malaysia dan Rancangan Televisyen
Malaysia (RTM) di Dewan Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI), Kampus Sultan Abdul Jalil Shah hari ini akan mengupas secara intelek
tajuk: Pendidikan di Malaysia goyah?
Kepada wartawan, KHAIRUL ABIDIN NUAR dan
jurugambar ZULKARNAIN SAIDIN, Naib
Canselor UPSI, PROF. DATUK DR.
ZAKARIA KASA yang juga Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan
Modal Insan MPN memberikan dua perspektif iaitu sisi positif dan negatif usaha-usaha kerajaan meningkatkan mutu sistem
pendidikan negara, dari sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi.
UTUSAN: Tajuk program advokasi kali ini agak mencabar untuk
dibincangkan.
ZAKARIA: Tajuk ini
boleh dilihat dari dua sudut, stabil dan tidak stabil dalam konteks apa yang
diusahakan kerajaan. Rakyat menerima pendidikan yang terbaik di dunia dan ini
dibuktikan melalui kewujudan sekolah yang kini lebih kurang 10,000 buah. Ini
sudut positif sistem pendidikan kita.
Pada masa sama, kita boleh melihat dari sudut lain, iaitu perbandingan dengan
negara luar yang menampakkan sistem pendidikan kita sedikit goyah. Kita berada
pada kedudukan agak bawah umpamanya dalam keputusan Program Penilaian Pelajar
Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains
Antarabangsa (TIMSS). Jadi kita perlu bekerja keras supaya berada pada
kedudukan terbaik dalam penilaian ini.
Pada masa sama, kita berdepan dengan
beberapa perubahan dasar. Contohnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dulu sudah 14 tahun kita laksanakan,
tiba-tiba dimansuhkan, jadi ini menimbulkan tentangan, ada yang menyokong serta
menentang.
UTUSAN:Baru-baru ini, kerajaan
menangguhkan ketetapan bahawa mulai 2016, pelajar dikenakan syarat wajib lulus
Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dasar yang berubah-ubah
ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya, kenapa kejap jadi, kejap tak jadi.
Apa pandangan
Prof. sendiri?
ZAKARIA: Pada saya,
kalau kita sudah membuat sesuatu keputusan, kita harus berpegang kepadanya
kecuali memang sudah teruk sangat. Maknanya kalau kita tengok sudah menunjukkan
tiada tanda-tanda kemajuan atau peningkatan, jadi, kita perlu berhenti. Namun,
kalau itu suatu yang baik dan boleh ke depan serta boleh bertambah lagi baik,
jadi, kenapa perlu kita berhenti? Umpamanya, satu lagi dasar iaitu
Malaysian University English Test (MUET).
UTUSAN: Untuk kemasukan ke
universiti, dulu Band 1 boleh masuk. Sekarang, kursus Sastera memerlukan Band 2
dan apabila tamat pengajian perlu capai Band 3. Dulu tiada syarat MUET untuk
tamat pengajian. Untuk bidang Kejuruteraan, perlukan Band 3 (untuk kemasukan)
dan keluar universiti Band 4. Ini memberikan masalah kepada bidang berkenaan.
Bagaimana
dengan kualiti guru?
ZAKARIA: Kita
lihat macam-macam orang salahkan guru. Hakikatnya, kita juga beranggapan guru
perlu berubah. Di universiti, kita pun mengajar apakah terbaik untuk masa depan
dalam bilik darjah termasuk mengaplikasikan pembelajaran dan pengajaran
mengikut konsep Sekolah Abad Ke-21.
Kita ada dua kementerian (Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian
Tinggi). Jadi, kita perlu bekerjasama menggunakan Strategi Lautan Biru
Kebangsaan (NBOS) untuk majukan sistem pendidikan.
UTUSAN: Bagaimana dengan perencanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025?
ZAKARIA: Maknanya
kerajaan sekarang ini sedang cuba menambah baik sistem pendidikan antara dengan
mempertingkatkan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk
melahirkan golongan pekerja berkemahiran. Dulu, kita tahu agak sukar untuk
menyambung pengajian (dalam bidang teknikal dan vokasional) apabila habis
Tingkatan Lima. Namun, sekarang ini sudah ada banyak kolej vokasional. Jadi,
kita harap lebih banyak pelajar yang akan ke situ memandangkan jurusan tersebut
sebahagian daripada aliran sains dan teknologi.
UTUSAN: Namun masih ada yang melihat TVET ini sebagai kelas kedua.
ZAKARIA: Ya,
stigma itu masih ada. Justeru, kerajaan sedang berusaha menambah kolej
vokasional dan didapati memang sambutan agak baik dan banyak ibu bapa sudah
sedar tentang peluang untuk anak-anak mereka membina kerjaya dalam bidang
berkenaan.
Bagi menggalakkan pelajar menceburi bidang itu, empat buah universiti diberi
fokus menghasilkan pakar teknologi di bawah Malaysian Technical University
(MTUN) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia
Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM) selain Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di bawah Majlis
Amanah Rakyat (Mara). Projek perintis untuk Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan
Berintegrasi (iCPGA) di universiti awam juga diperkenalkan.
UTUSAN: Sejauh mana langkah ini dapat menambah baik kualiti graduan?
ZAKARIA: Kita
mengukur pelajar bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, namun mengambil
kira kemahiran insaniah dalam diri mereka. Memang selama ini sukar untuk diukur
kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, kemahiran berkomunikasi dan
penyelesaian masalah termasuk nilai-nilai keusahawanan bagi meningkatkan
kebolehpasaran graduan selain menjadi warganegara yang baik.
UTUSAN: Apa
pandangan Prof. terhadap cadangan sekolah satu aliran? Adakah relevan serta
sesuai dilaksanakan di Malaysia?
ZAKARIA: Sekolah
satu aliran ini susah hendak dilaksanakan kerana kita ada peruntukan
Perlembagaan yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular. Jadi, kita tidak
boleh mewujudkan sekolah satu aliran kerana masyarakat Cina dan India akan
menentang habis-habisan. Apatah lagi, sekolah Cina sekarang memang maju dan
semakin kuat. Budak-budak Melayu pun sudah mula masuk.
Kita cuba buat di Sekolah Kebangsaan (SK) Behrang 2020 (sekolah makmal UPSI).
Kita perkenalkan bahasa Cina dan Tamil. Ibu bapa mula menghantar anak-anak
mereka ke situ sebab mereka juga beri kepentingan dari segi budaya dan bahasa
serta nilai-nilai setiap kaum untuk diajarkan kepada anak-anak mereka sejak
dari kecil seperti mana kita suka menghantar anak-anak ke taman asuhan Islam
supaya anak-anak itu dididik dengan nilai keagamaan. Namun, keburukannya, jika
masing-masing mendirikan sekolah, konsep perpaduan itu sudah hilang melalui
pendidikan.
Sekolah rendah (vernakular) memang dibenarkan dalam Perlembagaan. Namun bagi
sekolah menengah, mengikut Laporan Razak serta akta yang ada, sepatutnya tidak
dibenarkan. Semua pelajar menengah kena masuk ke sekolah kebangsaan.
Yang jadi masalahnya sekarang kita benarkan sekolah-sekolah swasta didirikan
mengikut ras masing-masing sekali gus menyebabkan kewujudan sekolah
persendirian. Oleh itu, mereka masih lagi tidak memasuki sekolah kebangsaan.
UTUSAN: Secara ringkas, apa cabaran sebenar pendidikan kita pada masa ini?
ZAKARIA: Kita
bercakap tentang kualiti pendidikan sebab kalau kita hendak bandingkan dengan
negara luar sekali pun, orang ramai akan melihat kepada kemampuan negara
menyediakan pendidikan berkualiti atau tidak. Kalau di peringkat sekolah, kita
ada kayu pengukurnya iaitu TIMSS dan PISA dan kita dapati, kita masih belum
sampai ke tahap dunia. Namun, kita sedang berusaha ke arah itu.
Dalam konteks pengajian tinggi, selain ranking, kita melihat kepada penerimaan
masyarakat luar negara iaitu berapa ramai pelajar luar negara yang datang
belajar ke negara kita. Sekarang ini, kita ada lebih 100,000 pelajar asing.
Kalau mereka datang untuk belajar di sini, maknanya mereka mengiktiraf sistem
pendidikan di Malaysia.
Merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik di UPSI. Juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Selangor. Selamat Berkongsi Ilmu.
0 comments:
Post a Comment