SEPANJANG
tahun 2015, pelbagai penambahbaikan dilakukan membabitkan pendidikan pada
peringkat sekolah, antaranya format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
akan ditambah baik bermula tahun depan daripada lima menjadi enam. Keputusan
menjadi enam berikutan subjek Bahasa Inggeris (BI) dipecahkan kepada dua gred
iaitu kertas pemahaman dan penulisan bertujuan memperkasakan subjek itu,
serta meningkatkan penguasaannya dalam kalangan murid. Turut diubah adalah
subjek Sains yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Kertas 1 membabitkan
soalan objektif dan Kertas 2 (subjektif), tetapi gred bagi ujian itu masih
kekal satu.
Peperiksaan UPSR tahun depan juga akan
menyaksikan pengurangan soalan objektif aneka pilihan, sebaliknya bilangan
soalan objektif pelbagai bentuk akan ditingkatkan selain ditambah dengan soalan
respons terhad iaitu soalan pendek, sejajar dengan usaha membudayakan unsur
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Selain itu, penambahbaikan juga
membabitkan kertas bagi subjek Bahasa Melayu (BM), BI, Bahasa Cina dan Bahasa
Tamil untuk ujian pemahaman, akan mempunyai soalan dalam bentuk subjektif
berbanding hanya objektif ketika ini. Berikutan pengasingan gred kertas BI itu,
calon UPSR bagi Sekolah Kebangsaan (SK) akan mendapat enam gred berbanding lima
sekarang, manakala calon Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil akan
memperoleh lapan gred berbanding tujuh pada masa ini. Ketika ini, calon UPSR
untuk SK diberi lima gred berdasarkan subjek BM yang dipecahkan kepada
pemahaman dan penulisan; BI; Matematik dan Sains manakala calon SJK Cina dan
SJK Tamil pula diberi tujuh gred berdasarkan subjek BM (pemahaman dan
penulisan); BI; Matematik; Sains serta dua lagi masing-masing membabitkan
kertas Bahasa Cina dan Tamil (pemahaman dan penulisan.
Tahun ini juga, Kementerian Pendidikan membuat
keputusan untuk menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran BI dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang sepatutnya berkuat kuasa mulai
tahun depan. Penangguhan itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada guru,
murid serta pihak berkaitan membuat persediaan lebih rapi. Selain
itu, Peperiksaan Pusat Amali Sains membabitkan mata pelajaran Fizik (Kod
4531), Kimia (Kod 4541), Biologi (Kod 4551) dan Sains Tambahan (Kod 4561) yang
sepatutnya dilaksanakan dalam SPM mulai tahun depan juga ditangguhkan kerana
kerajaan ingin memastikan kemudahan dan kelengkapan bilik makmal sains
sekolah di seluruh negara mencapai piawaian ditetapkan sebelum peperiksaan itu
dilaksanakan.
Malaysia
juga mencipta sejarah dalam bidang pendidikan apabila berjaya menduduki kerusi
Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan
Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2015-2019 selepas memperoleh undi
tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik. Pemilihan Malaysia yang diumum
pada Mesyuarat Pleno Ke-12 Persidangan Agung UNESCO ke-38 yang berlangsung pada
11 November lalu, di Paris. Malaysia memperoleh 165 undi, diikuti Vietnam
(156); Sri Lanka (149), Korea (137); Pakistan (135) dan Iran (128). Bagi
memperkasakan lagi bidang pendidikan, Kementerian Pendidikan menerima
peruntukan RM41.3 bilion melalui Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak, 23 Oktober lalu sebagai bukti keprihatinan tinggi kerajaan
kepada sektor pendidikan. Bajet itu bersifat menyeluruh dan merangkumi seluruh
sektor dalam pendidikan seperti pembangunan, kurikulum, kokurikulum dan Latihan
Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). Melalui peruntukan itu juga,
Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan dua inisiatif bagi mengukuhkan usaha
memperkasa penggunaan bahasa Inggeris diperkenalkan, membabitkan kos RM38.5
juta iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP).
Pelaksanaan HIP di semua sekolah akan dilakukan secara berperingkat, manakala
DLP dilaksanakan secara pilihan. Harum nama negara HIP adalah usaha berterusan
Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa
Inggeris dalam komuniti sekolah manakala DLP pula ialah program pengukuhan
berbentuk pilihan yang ditawarkan untuk sekolah.
Menerusi
DLP, sekolah boleh memilih untuk menawarkan pengajaran dan pembelajaran bagi
subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Rekabentuk
dan Teknologi (RBT) dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Tahun ini juga
menyaksikan empat pelajar sekolah rendah tempatan mengharumkan nama negara pada
Pertandingan Reka Cipta Inovatif Pelajar Antarabangsa di Hong Kong, selepas
menggondol enam anugerah khas dan satu anugerah emas. Pelajar Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna, Georgetown, Pulau Pinang itu
mempertaruhkan produk inovasi Noise Reducer, yang dibuat berasaskan sisa
buangan pertanian bagi mengurangkan kebingitan bunyi pengisar menggunakan
campuran tiga jenis sisa buangan pertanian iaitu sabut kelapa, hampas tebu dan
tangkai jagung serta soda. Difahamkan idea itu tercetus disebabkan bunyi
pengisar kegunaan untuk memasak yang agak membingitkan telinga. Semua pelajar
berkenaan mengambil masa kira-kira dua tahun bagi menyiapkan serta
memastikan ciptaan itu berfungsi sepenuhnya.
Merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Pendidikan Matematik di UPSI. Juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Selangor. Selamat Berkongsi Ilmu.
0 comments:
Post a Comment